Skuad bawah 18 tahun negara (B-18) akhirnya raih kemenangan pertama dalam kejohanan AFF B-18 selepas menewaskan Singapura, 3-1 pada aksi kedua peringkat kumpulan di Stadium Thong Nhat, Ho Chi Minh City, semalam.
Sebelum ini, skuad kendalian Brad Maloney itu tewas 0-1 kepada tuan rumah, Vietnam dan mereka mula mendapat rentak serta mempamerkan corak permainan yang lebih baik pada perlawanan kedua ini.
Dalam perlawanan tersebut, Malaysia menjaringkan gol pertama melalui gerakan tersusun dari bahagian tengah lalu disudahkan Muhammad Firdaus Kaironnisam. Singapura juga hampir memperolehi jaringan penyamaan pada minit ke 21 tetapi penyerang mereka tergelincir ketika melakukan rembatan.
AFFU18 2019
Gol pertama Malaysia dijaringkan oleh Firdaus Kaironnisam.#VocketFC #AFFU18 pic.twitter.com/BekQ4vURz3
— VOCKET FC (@vocketfc) August 9, 2019
Gol tunggal Firdaus itu kekal sebagai bekalan ke bilik persalinan selepas dua percubaan Luqman Hakim Shamsudin digagalkan pada minit ke-33 ketika dia memintas hantaran lawan di bahagian pertahanan sebelum melakukan rembatan lemah ke dakapan penjaga gol, E. Prathip.
Firdaus sekali lagi membuktikan sentuhan penyudahnya pada minit ke-51 apabila mencetak jaringan kedua peribadi selepas merampas bola daripada kawalan Danial Scott Crichton dari sayap kiri untuk melencongkan bola melepasi Prathip.
Gol ke-2 Malaysia sekali lagi dijaringkan oleh Firdaus Khaironnisam.
Malaysia 2-0 Singapura#VocketFC #AFFU18 pic.twitter.com/r8b7lVDL2h
— VOCKET FC (@vocketfc) August 9, 2019
Tersentak dengan dua jaringan itu, Singapura cuba bangkit dan mula memberi tekanan kepada pemain pertahanan Malaysia. Hasilnya mereka berjaya memperolehi satu gol pada minit ke 75 menerusi Muhammad Zamani yang bijak manfaatkan kesilapan benteng pertahanan skuad negara.
Bagaimanapun, jaringan itu tidak mematahkan semangat Malaysia untuk kembali mengatur gerakan beberapa gerakan berbahaya. Luqman Hakim akhirnya mencetak namanya selaku penjaring untuk meleburkan hasrat kebangkitan lawan dengan jaringan ketiga negara menerusi gelecekan di sayap kiri sebelum melepaskan rembatan.
Gol ke-3 Malaysia dijaringkan oleh Luqman Hakim.
Malaysia 3-1 Singapura#VocketFC #AFFU18 pic.twitter.com/W5Nr479cbU
— VOCKET FC (@vocketfc) August 9, 2019
Kemenangan 3-1 itu bermakna Malaysia kini menghuni di tangga kedua dalam kumpulan B selepas Vietnam tewas 1-4 kepada Australia. Manakala Thailand turut tewas 3-4 kepada Kemboja menjadikan saingan merebut tiket ke separuh akhir kini semakin sengit.