Hasrat skuad Malaysia Bawah 18 tahun (B-18) untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan pertama Kejohanan AFF B-18 tidak menjadi kenyataan apabila mereka tewas 0-1 kepada tuan rumah, Vietnam di Stadium Thong Nhat malam tadi.

Meskipun penjaga gol skuad negara beraksi cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya lawan, namun kesilapan benteng pertahanan di minit akhir perlawanan membawa padah selepas gagal menghalang bola sepakan penjuru pemain gantian, Vo Minh Trong.

Dalam perlawanan tersebut, tuan rumah menguasai perlawanan ketika di separuh masa pertama dan hampir memperolehi jaringan awal melalui rembatan voli Tran Manh Quynh namun penjaga gol negara, Firdaus Irman cemerlang menafikan percubaan itu.

Bagaimanapun, lima kemudian Firdaus hampir dihukum selepas gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sehingga menerjah masuk gawang gol. Mujur jaringan tersebut tidak dikira kerana pengadil utama mendakwa bola tersebut terkena tangan kapten Vietnam.

Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Pada separuh masa kedua menyaksikan skuad negara sudah mula mendapat rentak dan hampir mengejutkan ribuan penyokong tuan rumah melalui Firdaus Kaironnisam tetapi rembatannya melewati palang.

Malah, selepas Vietnam memperolehi jaringan pertamanya, bekas penjaring terbanyak AFC B-16, Luqman Hakim hampir menyamakan kedudukan pada minit terakhir perlawanan namun penyudahnya tumpul dan tidak menemui sasaran.

ba231e1b535eb400ed4f
FOTO: VFF

Mengulas mengenai aksi pemain, pengendali skuad negara, Brad Maloney mengakui terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki dan akan bangkit dalam perlawanan yang seterusnya.

“Ia satu perlawanan yang amat kompetitif. Tahniah buat Vietnam kerana beraksi dengan cukup baik sambil mencipta beberapa peluang.

“Barisan pemain saya bagaimanapun memperkemaskan permainan dalam babak kedua tetapi kami tidak bernasib baik kerana dibolosi pada saat-saat akhir,” kata Maloney dalam Stadium Astro.

Selepas ini, skuad negara akan menentang Singapura pada hari jumaat (9 Ogos) diikuti oleh Kemboja (11 Ogos), Australia (13 Ogos) dan Thailand menjadi lawan yang terakhir pada 15 Ogos 2019.

Sumber