Pengendali skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, Brad Maloney tetap memberikan pujian kepada anak buahnya meskipun mereka tewas 1-4 pada aksi pembukaan Kejuaraan AFC B-23 2022 bertemu Korea Selatan, malam tadi.
Antara perkara yang mendapat pujian Maloney sudah pastinya disiplin para pemain muda negara dalam menyerap asakan diberikan Korea Selatan pada babak pertama.
Selain daripada jaringan pembukaan menerusi tandukan ketua pasukan, Lee Sang-min, skuad juara bertahan itu kelihatan bergelut untuk menjelmakan peluang terbaik pada 45 minit pertama walaupun menguasai sebahagian besar permainan.
Tidak wajar untuk langsung tidak memberikan kredit atas usaha keras ditampilkan anak buahnya, Maloney melihat terdapat elemen positif yang dapat disaksikan pada perlawanan di Stadium Lokomotiv, Tashkent itu.
"[Korea Selatan] lawan yang bagus, juara bertahan. Kami memang menjangkakan satu perlawanan yang sukar dan mencabar untuk dihadapi, jadi itulah yang mereka berikan kepada kami,'' ujar Brad Maloney dalam sidang media selepas perlawanan.
"Tetapi saya sangat berbangga dengan para pemain saya kerana mereka tidak mudah menyerah kalah. Mereka ketinggalan dua gol dan kembali mengejar dengan memperoleh satu jaringan''
[caption id="attachment_92617" align="alignnone" width="1200"] Kredit Foto: FAM[/caption]
"Tetapi malangnya dibolosi dua gol pada lewat permainan. Keadaan tersebut boleh berlaku apabila anda berhadapan dengan pasukan yang baik. Sekiranya anda memberikan beberapa peluang, mereka akan menghukum anda seperti apa yang berlaku malam ini.''
"Saya merasakan pemain saya menunjukkan disiplin yang luar biasa pada separuh masa pertama dan benar-benar membuatkan Korea bekerja keras untuk mendapatkan gol.''
"Pada babak kedua kami bermain secara lebih terbuka untuk mendapatkan jaringan dan hasilnya mendapat satu gol, ia satu perkara yang hebat.''
"Tetapi seperti saya katakan, kita memberikan beberapa peluang kepada pasukan lawan sehingga membuatkan kita dihukum pada akhirnya,'' tambah Brad Maloney lagi.
Tiga lagi jaringan pasukan lawan disumbangkan oleh ledakan padu Kim Tae-hwan dan dua gol pada lewat permainan daripada pemain gantian, Cho Young Wook manakala ketua pasukan, Mukhairi Ajmal Mahadi menghadiahkan jaringan buat skuad negara.
Cabaran kedua yang bakal dihadapi oleh skuad muda negara ialah bertemu Thailand di Stadion Milliy pada hari Ahad nanti jam 11.00 malam waktu tanah air.
Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad B-23 negara di Uzbekistan melalui pautan dibawah.
https://www.vocketfc.com/afc-b-23-korea-selatan-terlalu-unggul-buat-skuad-muda-negara/
https://www.vocketfc.com/brad-maloney-tiada-sasaran-spesifik-tetapi-kami-mahu-mara-lebih-jauh/
https://www.vocketfc.com/brad-maloney-pemain-begitu-bersemangat-untuk-beraksi/