Semalam, Kementerian Belia dan Sukan mengeluarkan satu kenyataan media bertulis mengenai isu pelepasan pemain bola sepak yang akan bertanding dalam acara itu di Sukan Asia 2018 yang akan berlangsung di Indonesia bulan hadapan.
Kenyataan yang dikeluarkan itu, dilihat oleh ramai pihak dan berjaya mengesan beberapa kesilapan yang boleh mengelirukan banyak pihak. Gambar dibawah ini adalah kenyataan media yang dikeluarkan semalam.
Kenyataan Media Menteri Belia dan Sukan, YB @SyedSaddiq berhubung isi pelepasan pemain skuad bola sepak bawah 23 negara bagi Temasya Sukan Asia 2018 pic.twitter.com/8OJWhvbwMt
— KBSMalaysia (@KBSMalaysia) July 22, 2018
4 Kesilapan Besar Kenyataan Media Dari KBS Berkenaan Isu Pelepasan Pemain Bola Sepak Ke Sukan Asia 2018.
- Bukan Dalam Kalendar FIFA
Kejohanan bola sepak Sukan Asia 2018 itu tidak tersenarai dalam kalendar pertandingan FIFA.
Disebabkan tiada dalam kalendar FIFA, bermakna kejohanan itu tidak diiktiraf oleh FIFA dan pasukan atau kelab pemain tersebut tidak diwajibkan untuk memberi pelepasan.
Sebarang urusan pelepasan pemain adalah tertakluk kepada budi bicara pasukan atau kelab tersebut, dan jika tidak dilepaskan sekalipun tiada apa-apa tindakan boleh dikenakan.
2. Tiada Kesan Kepada Mata FIFA Ranking
Selain itu, kejohanan bola sepak Sukan Asia 2018 itu juga adalah kejohanan khas untuk pemain-pemain bawah 23 tahun dengan kelonggaran diberikan kepada setiap pasukan untuk menyenaraikan 3 pemain lebih umur.
Sebarang kejohanan bola sepak bawah umur tidak akan memberikan sebarang kesan atau impak kepada pungutan mata serta kedudukan FIFA ranking Malaysia.
3. Campur Tangan Kerajaan Akan Mengundang Padah
Tindakan Syed Saddiq selaku Menteri Belia dan Sukan Malaysia itu juga dilihat seolah-olah pihak kerajaan cuba untuk masuk campur dalam urusan bola sepak dan perkara ini adalah dilarang keras oleh FIFA.
Jika disabitkan kesalahan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan digantung oleh FIFA dan tidak dibenarkan menyertai mana-mana aktiviti bola sepak mengikut jangka masa hukuman yang dikenakan sepeti yang pernah berlaku kepada Kuwait.
4. Nilai Perpindahan Pemain Dalam Liga Malaysia
Dalam liga bola sepak Malaysia, tiada terma nilai perpindahan pemain digunakan kerana tiada proses jual beli pemain dari satu pasukan ke pasukan yang lain.
Apa yang berlaku pada kebiasaannya adalah pasukan baru yang mahukan seorang pemain yang masih memiliki kontrak dengan pasukan asal, perlu menebus jumlah baki kontrak pemain tersebut. Dan ini tidak sama dengan nilai perpindahan.
Jadi, kenyataan pasukan negeri/pasukan asal pemain tersebut akan memperoleh keuntungan hasil ‘penjualan’ pemain adalah tidak benar.
Diharapkan semoga Syed Saddiq serta pegawai-pegawai yang terlibat dalam mengeluarkan kenyataan itu lebih berhati-hati dan merujuk kepada mereka yang lebih arif dalam bidang bola sepak supaya isu seperti ini dapat dielakkan dimasa depan.