Kelab gergasi tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapat tonik tambahan menjelang perlawanan sulung saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2023/24 bertemu Kawasaki Frontale, malam esok.
Baca Juga:
- FAM Sedia Hantar Gol Safawi Dan Forestieri Ke Anugerah Puskas
- Forestieri Pandang Tinggi Kemampuan Pemain Muda Perak
- RASMI: Diogo Luis Santo Kembali Sarung Jersi JDT
Hal ini kerana kelab yang terkenal dengan jolokan ‘Harimau Selatan’ itu bakal mendapatkan kembali khidmat dua pemain import berpengaruh di jentera serangan iaitu Fernando Forestieri dan Diogo Luis Santo.
Forestieri dan Diogo mengalami kecederaan pada Julai lalu hingga menyaksikan JDT membawa masuk penyerang baharu dari Brazil, Heberty Fernandes de Andrade.
Kehadiran semula dua pemain tersebut nyata memberikan lebih banyak pilihan buat Esteban Solari untuk merobek gawang lawan dimana beliau turut memiliki Bergson da Silva dan Heberty.
Seperti diketahui, Forestieri sebelum ini memberikan sumbangan berkesan buat pasukan dan cukup prolifik dihadapan pintu gol lawan dengan 17 gol dihasilkannya dalam saingan Liga Super 2023.
Meskipun gembira dengan perkembangan terkini itu, Solari bagaimanapun enggan terburu-buru untuk menurunkan kedua-dua pemain tersebut.
“Forestieri baru mula menjalani latihan bersama rakan sepasukan sejak tiga hari lalu manakala Diogo sudah 10 hari menjalani latihan,” ujar Solari menurut sumber laporan BH Online.
“Tetapi saya perlu lihat tahap kecergasan mereka dahulu sebelum membuat keputusan sama ada menyenaraikan mereka dalam kesebelasan utama.”
Lambakan pemain import dalam skuad JDT tidak memberikan masalah untuk mereka mendaftarkan pemain dalam saingan ACL kerana Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membenarkan setiap pasukan mendaftar seberapa banyak pemain import dalam senarai 35 pemain tetapi hanya enam orang pemain import yang boleh diturunkan pada musim ini.
Enam pemain import yang dimaksudkan ialah kuota 5+1 (pemain dari mana-mana warganegara dan seorang pemain dari negara Asia).
Selain Kawasaki Frontale, JDT turut berada dalam satu kumpulan bersama-sama wakil Korea Selatan yang merupakan bekas juara, Ulsan Hyundai dan BG Pathum dari Thailand.