Johor Darul Ta’zim (JDT) bermula dengan langkah kiri apabila tewas 0-1 kepada kelab Jepun, Kawasaki Frontale pada aksi pertama peringkat kumpulan AFC Champions League (ACL) 2023/24 di Stadium Sultan Ibrahim.

Dalam perlawanan ini, pengendali Harimau Selatan, Estabian Solari menurunkan gandingan serangan Bergson Da Silva bersama Heberty Fernandes dan Arif Aiman. Bagaimanapun, tiada kelibat Fernando Forestieri di bangku simpanan.a

Kawasaki Frontale terlebih dahulu menguji benteng pertahanan JDT apabila melakukan beberapa gerakan pantas. Mereka nyaris memperolehi gol pembukaan pada minit ke 13 namun rembatan Akihiro Ienaga tersasar.

JDT juga memperolehi beberapa peluang terhidang untuk membuka akaun jaringan tetapi malangnya percubaan Bergson Da Silva gagal menerjah gawang gol lawan. Penjaga gol Kawasaki Frontale dari Korea Selatan, Jung Sungryong turut beraksi cemerlang menafikan rembatan Bergson.

Pada minit ke 44, Stadium Sultan Ibrahim bergema dengan sorakan penyokong lawan apabila Marcinho menjaringkan gol pertama menerusi sepakan gunting dalam keadaan gawang terbuka luas. Ia adalah hasil kesilapan penjaga gol JDT, Syihan Hazmi yang terkeluar daripada posisinya.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama namun ia tidak mematahkan semangat JDT untuk memburu jaringan penyamaan di separuh masa kedua.

Harimau Selatan bangkit lebih garang dan Arif Aiman nyaris mencetak nama sebagai penjaring apabila percubaannya ditepis penjaga gol Kawasaki Frontale dalam kawasan kotak penalti pada minit 47.

Walaupun Solari membuat pertukaran pemain dengan memasukkan penyerang import Brazil, Diogo Luis Santo dengan Afiq Fazail namun percaturan itu masih gagal membuahkan hasil. Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan sekaligus mengesahkan 3 mata menjadi milik Kawasaki Frontale.

Keputusan tersebut menyaksikan JDT kini berada di kedudukan ketiga dalam kumpulan I dibelakang Kawasaki Frontale dan Ulsan Hyundai yang sebelum itu menewaskan BG Pathum United 3-1.

Selepas ini, skuad Harimau Selatan bakal bertemu kelab Thailand, BG Pathum United di Bangkok pada 3 Oktober 2023.