Juara Liga Super 9 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan laluan sukar dalam saingan AFC Champions League (ACL) 2023/24 apabila diundi bersama kelab gergasi Korea Selatan, Jepun dan Thailand.

Baca Juga:

Ibarat mengulangi pertemuan musim 2022, skuad Harimau Selatan sekali lagi bakal berdepan Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale. Satu lagi lawan mereka ialah BG Pathum United yang merupakan naib juara Liga Thailand.

Ketika dibimbing oleh Benjamin Mora, JDT menewaskan Ulsan Hyundai dua kali (2-1) di Stadium Sultan Ibrahim. Ketika itu perlawanan berlangsung secara venue berpusat bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Malah, mereka juga tewas 5-0 kepada Kawasaki Frontale dan seri tanpa jaringan pada perlawanan kedua berdepan kelab Jepun itu. Selain itu, Harimau Selatan turut merekodkan dua kemenangan ke atas Guangzhou FC untuk muncul juara kumpulan.

Namun, rekod pertemuan itu tidak boleh dijadikan ukuran kerana situasi pada musim ini sudah tentu berbeza.

Pengendali JDT, Esteban Solari mengakui tugas sukar sedang menanti pasukannya kerana kualiti saingan ACL tidak sama dengan aksi Liga Super.

“Tentu sekali kumpulan yang sukar berada bersama kelab dari Jepun, Korea Selatan dan Thailand yang mana mereka adalah pasukan pilihan. Semua tahu kita akan berdepan perlawanan yang sukar.

“Kami kena fikirkan untuk menyediakan pasukan terbaik dari segi taktikal dan mental. Kami lihat peluang tetap ada dan harus diingat format (ACL) musim ini tidak sama seperti tahun lalu,” katanya.

Perlawanan peringkat kumpulan dijadualkan berlangsung bermula 18 September 2023 hingga 13 Disember 2023. Setiap kelab akan beraksi dalam 6 perlawanan home dan away.

Hanya pasukan teratas kumpulan dan 3 tempat kedua terbaik kumpulan sahaja mara ke Pusingan 16 (kalah mati) yang turut dimainkan secara timbal balik.

Musim ini adalah yang terakhir kejohanan tersebut menggunakan nama AFC Champions League sebelum bertukar kepada AFC Champions League Elite yang disertai oleh 24 kelab elit di Asia.