Wakil Korea Selatan, Ulsan Hyundai melonjak ke tangga teratas saingan kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 selepas berjaya membenam cabaran Kawasaki Frontale 3-2 pada aksi kelima yang berlangsung di Stadium Tan Sri Dato Hj Hassan Yunos, Larkin sebentar tadi.
Kemenangan ketiga berturut-turut tersebut membolehkan skuad kendalian Hong Myung-bo itu mengumpul 10 mata, dua mata dihadapan Kawasaki Frontale. Namun, kedudukan akan berubah pada malam ini sekiranya Johor Darul Ta’zim (tujuh mata) dapat menewaskan Guangzhou FC.
Penguasaan permainan yang ditampilkan Kawasaki Frontale jelas tidak banyak membantu mereka dimana barisan pemain Ulsan Hyundai lebih klinikal di hadapan pintu gol lawan bagi menyempurnakan peluang terhidang.
Ia jelas dibuktikan apabila Leandro Damiao terlepas peluang terbaik dimana beliau melakukan percubaan meliar ketika hanya berhadapan dengan penjaga gol Ulsan Hyundai, Jo Hyeon-woo pada minit ketujuh permainan.
Ulsan yang sesekali mengasak berjaya mendapatkan jaringan pendahuluan pada minit ke-14 selepas Leandro Nascimento Lopes da Souza menggunakan kesempatan ketika situasi kelam-kabut dalam kawasan penalti untuk melakukan percubaan susulan yang menewaskan Jung Sung-ryong di gawangnya.
Eom Won-sang menambah jaringan kedua buat Ulsan Hyundai berselang empat minit kemudian apabila beliau yang melakukan larian pantas ke dalam kawasan penalti dengan tenang melakukan percubaan bagi membolosi gawang Kawasaki Frontale.
Leandro Damiao kembali merapatkan jurang gol selepas beliau mudah menolak masuk bola hasil umpanan menerusi tandukan dilakukan Marcinho pada minit ke-40.
Ketika aksi babak kedua baharu berusia dua minit, Ulsan Hyundai pantas mendapatkan kelebihan selesa dengan jaringan ketiga yang dihasilkan Valeri “Vako” Kazaishvili. Pemain skuad kebangsaan Georgia itu berjaya memperdayakan pertahanan Kawasaki Frontale dan kemudiannya melakukan percubaan yang melepasi celah kaki Sung-ryong.
Jaringan itu jelas menyemarakkan lagi api perjuangan para pemain Ulsan Hyundai dan mereka hampir mendapatkan jaringan keempat pada minit ke-50. Bagaimanapun, rembatan Won-sang susulan gerakan lincahnya hanya sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol.
Leandro Damiao juga mendapat peluang keemasan pada minit ke-68 tetapi rembatannya dalam kawasan penalti ditepis dengan cemerlang Hyeon-joo untuk menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.
Pemain yang pernah beraksi bersama Neymar dalam skuad kebangsaan Brazil itu menghadirkan sedikit harapan buat gergasi Jepun tersebut hasil jaringan pada minit ke-92 tetapi ia masih belum mampu untuk menghalang kemenangan penting buat Ulsan Hyundai.