Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui kenyataan Setiausaha Agung, Stuart Ramalingam kepada Harian Metro dilaporkan akan mula memperkenalkan beberapa undang-undang baharu bola sepak dalam kempen Piala Malaysia 2019 nanti.
Ini adalah selaras dengan perubahan yang telah dibuat oleh International Football Association Board (IFAB) kepada versi terbaru Law of the Games (LOTG) pada awal bulan Mac yang lalu.
“Kita akan melaksanakan peraturan baharu itu ketika bermulanya saingan Piala Malaysia dan ia sudah diberitahu kepada pihak berkaitan supaya tiada kekeliruan nanti.
“Peraturan itu diperkenalkan Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa (IFAB) dan wajib diamalkan semua badan induk bola sepak setiap negara,” katanya,
7 Peraturan Baharu Akan Digunakan Dalam Piala Malaysia 2019
- Law 03 – 3.3 Prosedur Pertukaran Pemain
- Pemain yang akan dikeluarkan, menerima kebenaran pengadil untuk meninggalkan kawasan permainan (FOP) dan perlu keluar melalui garisan tepi padang (touchline) paling hampir dengan mereka, melainkan pengadil memberi arahan kepada pemain untuk keluar dari FOP melalui garisan tengah atau lokasi lain.
- Pemain yang keluar perlu dengan segera menuju ke kawasan teknikal (bangku simpanan) atau bilik persalinan.
2. Law 13 – 13.2 Prosedur Sepakan Bebas
- Benteng pertahanan perlu berada pada jarak 10 ela (9.15 meter) dari kedudukan bola.
- Jika 3 atau lebih pemain lawan membentuk benteng pertahanan, semua pemain yang menyerang perlu berada sekurang-kurangnya 1 ela dari kawasan benteng, sehingga bola dimainkan.
3. Law 16 – 16.1 Prosedur Sepakan Gol
- Bola perlu berada dalam keadaan pegun, disepak dari dalam kawasan gol oleh pemain pertahanan.
- Bola dikira dalam permainan selepas disepak dan bergerak (tidak perlu keluar dari kawasan penalti).
- Pemain lawan perlu berada diluar kawasan penalti sebelum bola dimainkan.
4. Law 14 – 14.1 Sepakan Penalti
- Ketika sepakan penalti diambil, hanya sebelah kaki penjaga gol perlu menyentuh atau berada diatas garisan gol.
5. Law 09 – 9.1 Dropped Ball
- Sekiranya bola terkena pegawai perlawanan, dan berada dalam kawasan permainan, bola akan dimainkan semula menggunakan kaedah dropped ball.
6. Law 05 – Kad Kuning/Merah
- Pegawai pasukan yang didapati melakukan kesalahan akan dilayangkan kad kuning atau merah.
- Sekiranya, pelaku tidak dapat dikesan, jurulatih senior didalam kawasan teknikal akan menerima layangan kad kuning atau merah.
7. Law 12 – Handball
- Sekiranya pemain menjaringkan gol selepas bola terkena tangan walaupun tidak sengaja, tidak akan dikira.
- Begitu juga, jika bola terkena tangan pemain secara tidak sengaja dan membuka ruang bagi rakan sepasukan (assist) untuk menjaringkan gol, ia tidak akan dikira.
Peraturan berkenaan itu akan dilaksanakan bagi mengelak perlawanan tertangguh dalam tempoh masa yang lama sehingga menjejaskan waktu perlawanan sebenar.
“Kita sudah berbincang dengan jawatankuasa pengadil sebelum melaksanakannya dan peraturan itu lebih fokus kepada mengurangkan pembaziran masa,” katanya Stuart Ramalingam.