Saingan AFC B-23 Tahun akan berlangsung kurang tiga minggu daripada sekarang dan ianya akan menjadi pentas untuk pemain muda terbaik di rantau Asia mempamerkan kebolehan serta kualiti yang dimiliki oleh mereka sekaligus membantu pasukan untuk merebut tiket ke temasya Sukan Olimpik 2020 di Tokyo.
Tiga edisi terdahulu telah melahirkan beberapa pemain muda yang ketika ini beraksi bersama pasukan ternama dan juga mewarnai liga terbaik di Asia dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) telah memilih 7 pemain terbaik yang terlahir daripada saingan AFC B-23 Tahun.
1. Shoya Nakajima
Shoya Nakajima beraksi dalam dua edisi di mana beliau membantu Jepun mara ke peringkat suku akhir pada edisi 2014 sebelum membantu The Samurai Blue muncul juara pada edisi seterusnya. Nakajima turut diangkat sebagai pemain paling bernilai pada edisi 2016.
Pada musim 2019, pemain berusia 25 tahun itu beraksi bersama bekas pemenang Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2004, FC Porto.
2. Almoez Ali
Almoez Ali muncul sebagai penjaring terbanyak pada edisi 2018 dimana beliau turut membantu Qatar menduduki tempat ketiga. Setahun kemudian, Ali menjaringkan 9 gol dalam temasya Piala Asia 2019 sekaligus membantu Qatar memenangi kejuaraan dengan menewaskan Jepun di pentas akhir.
3. Chanathip Songkrasin
Pemain yang satu ini merupakan pemain terbaik Asia Tenggara dimana beliau mencipta nama dalam saingan J. League dengan beraksi bersama Consadole Sapporo. Chanathip turut menyinar di pentas antarabangsa bersama Thailand di mana beliau membantu Gajah Perang memenangi trofi Piala AFF Suzuki pada 2016.
4. Alireza Beiranvand
Penjaga gol yang sinonim dengan balingan jauh ini beraksi pada edisi 2016 lalu. Dua tahun kemudian, Beiranvand beraksi di pentas Piala Dunia dan turut menyelamatkan sepakan penalti Cristiano Ronaldo ketika Iran berdepan Portugal di saingan peringkat kumpulan.
Beiranvand yang beraksi bersama Persepolis turut disenaraikan bagi anugerah 2019 AFC Player of the Year.
5. Hwang Hee-chan
Sejak menampilkan prestasi memberangsangkan pada edisi 2016, Hee-chan mendapat perhatian kelab di Eropah dan Red Bull Salzburg menandatangani beliau. Sejak itu, penyerang berusia 23 tahun itu memenangi tiga kejuaraan Austria Bundesliga. Selain itu, beliau membentuk gandingan mantap bersama seorang lagi pemain Asia, Takumi Minamino yang baru sahaja menyertai Liverpool.
6. Omar Khribin
Omar pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Malaysia setelah menampilkan prestasi cemerlang pada edisi 2014 dan 2016. Pemain Syria ini kemudiannya memenangi anugerah AFC Player of the Year pada 2017 setelah membantu Al Hilal mara ke pentas akhir dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).
7. Abdullah Otayf
Otayf merupakan nadi utama Arab Saudi dalam perjalanan mereka menuju ke perlawanan akhir pada edisi 2014 lalu. Sejak itu, Otayf menjadi pemain sandaran bagi pasukan kebangsaan serta kelab beliau, Al-Hilal dimana bari-baru ini pemain berusia 27 tahun itu membantu Al-Hilali memenangi Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia di sini: