Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam mengumumkan Amerika Syarikat (AS) akan menjadi tuan rumah Piala Dunia Kelab 2025 yang bakal menampilkan 32 pasukan buat kali pertama dalam sejarah.

Pengumuman itu menyaksikan AS akan menganjurkan kejohanan besar untuk tiga musim panas berturut-turut, Copa America 2024 dan Piala Dunia 2026 yang dianjur bersama dengan Mexico serta Kanada.

Mengikut format semasa, ada 7 pasukan bertanding melibatkan juara setiap benua.

Namun FIFA mengesahkan bahawa format baharu bermula 2025 bagi meningkatkan lagi prestij pertandingan tersebut serta meluaskan penyertaan kelab dari seluruh dunia.

Kejohanan Piala Dunia Kelab tersebut dirancang diadakan 4 tahun sekali. Ianya mirip kepada format Piala Dunia yang ada sekarang ini.

“Piala Dunia Kelab 2025 akan menjadi kemuncak bola sepak kelab lelaki elit profesional, Amerika Syarikat adalah tuan rumah terbaik untuk kejohanan global baharu ini,” kata Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Antara kelab yang sudah layak adalah Real Madrid, Manchester City, Chelsea, kelab-kelab Brazil – Flamengo dan Palmeiras, Leon (Mexico) dan Seattle Sounders (Major League Soccer).

Manakala dua wakil Asia yang turut layak ialah Al Hilal (Liga Pro Arab Saudi) dan Urawa Red Diamonds (J-League). Dua lagi wakil dari Asia akan ditentukan menerusi saingan AFC Champions League (ACL) musim 2023/24.

Rantau Oceania turut diberikan satu slot dan tuan rumah iaitu Amerika Syarikat dijamin satu tempat dalam kejohanan itu.

Kejohanan Piala Dunia Kelab dengan format lama akan berlangsung buat kali terakhir di Arab Saudi pada Disember ini.