Persatuan Bola Sepak Malaysia  (FAM) hari ini mengumumkan senarai 24 pemain yang telah dipanggil oleh ketua jurulatih skuad Harimau Malaya B-23, Juan Torres Garrido bagi menyertai kem latihan pusat bermula 13 hingga 21 November 2023.

Baca Juga:

Kem latihan tersebut adalah sebagai persiapan menjelang kempen Piala Asia B-23 2024 yang dijadualkan berlangsung April depan.

Berdasarkan senarai itu, 17 daripada 23 pemain skuad Kelayakan Piala Asia B-23 2024 di Chonburi, Thailand pada 6 hingga 12 September lalu telah dikekalkan.

Sementara itu, lima muka baharu yang dipanggil kali ini adalah Daryl Sham K. K. George, Muhammad Firdaus Ramli, Muhammad Aiman Khairul Yusni, Muhammad Firdaus Ahmad Fuad dan Adam Farhan Mohd Faizal serta dua pemain daripada senarai ke Kejuaraan B-23 AFF 2023 iaitu Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri dan Muhammad Abu Khalil.

Turut dipanggil ialah pemain yang berpengkalan dari luar negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin.

Ini adalah kem latihan pertama dibawah kendalian jurulatih baharu dari Sepanyol itu selepas E. Elavarasan mengumumkan perletakan jawatan bulan lalu.

Juan Torres Garrido turut akan dibantu oleh bekas pemain kebangsaan, Shukor Adan.

Menurut Juan, beliau akan meneruskan apa yang sudah dirancang dan bakal memberi fokus kepada kejohanan antarabangsa yang bakal dihadapi, terutamanya saingan AFC B-23 Tahun yang juga menjadi medan untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Saya sudah bekerja dengan pasukan ini hampir setahun. Jadi kita mengetahui satu sama lain. Saya akan menggunakan apa yang saya pelajari ketika di Sepanyol dan pasukan lain untuk membantu pasukan negara,” katanya.

“Saya juga berjumpa dengan Shukor. Dia boleh bergaul dengan para pemain kerana kebolehannya dan juga pengalaman yang dia ada. Kita juga tahu kemampuan beliau ketika bergelar sebagai pemain dan kemampuan untuk menjadi pemimpin di atas padang,” tambahnya.