Ketua jurulatih baharu skuad B-23 Tahun negara, Juan Torres Garrido menegaskan beliau mahu menggunakan pengalamannya ketika bekerja di eropah bagi membantu pasukan negara.
Baca Juga:
- RASMI: Juan Torres Garrido Ketua Jurulatih Malaysia B-23 Yang Baharu
- Akmal Rizal Tepis Khabar Angin Beliau Bakal Gantikan E.Elavarasan
- FAM Akan Umum Pengganti E.Elavarasan Dalam Masa Terdekat
Juan berkata demikian selepas dilantik sebagai pengendali baharu skuad B-23 Tahun negara bagi menggantikan E.Elavarasan yang kembali bertugas bersama skuad senior dibawah bimbingan Kim Pan-gon.
Menurut Juan, beliau akan meneruskan apa yang sudah dirancang dan bakal memberi fokus kepada kejohanan antarabangsa yang bakal dihadapi, terutamanya saingan AFC B-23 Tahun yang juga menjadi medan untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Saya sudah bekerja dengan pasukan ini hampir setahun. Jadi kita mengetahui satu sama lain. Saya akan menggunakan apa yang saya pelajari ketika di Sepanyol dan pasukan lain untuk membantu pasukan negara,” katanya.
Juan Torres turut menegaskan beliau tidak sabar untuk bekerja dengan bekas ketua pasukan skuad kebangsaan, Shukor Adan yang dilantik sebagai pembantunya.
“Saya sudah berjumpa dengan Shukor. Dia boleh bergaul dengan para pemain kerana kebolehannya dan juga pengalaman yang dia ada. Kita juga tahu kemampuan beliau ketika bergelar sebagai pemain dan kemampuan untuk menjadi pemimpin di atas padang,” tambahnya.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S.Sivasundaram mendedahkan selain Shukor, pihaknya telah menemu duga tiga jurulatih tempatan lain bagi mengisi jawatan sebagai pembantu jurulatih antaranya Nidzam Jamil, Rusdi Suparman dan Akmal Rizal.
Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell berasa yakin dengan gandingan antara Juan Torres dan Shukor Adan untuk mengendalikan skuad B-23 Tahun negara.