Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengumumkan pelantikan Juan Torres Garrido dari Sepanyol sebagai ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan yang baharu bagi menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan.

Baca Juga:

Jawatan ketua jurulatih tersebut kosong selepas E. Elavarasan pada 18 September lalu telah melepaskannya untuk kembali fokus kepada tugasan asalnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan.

Juan Torres yang lahir pada 19 Januari 1980 dan kini berusia 43 tahun, sebelum ini merupakan penolong ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan bagi membantu E. Elavarasan sejak dari September 2022.

Dari segi pengalaman sebelum ke Malaysia, Juan Torres merupakan Ketua Pencari Bakat bagi FC Barcelona untuk kawasan Catalunya dari 2016 hingga 2020, sebelum beliau menjadi Ketua Bola Sepak Remaja Profesional (B-23) bagi kelab Granada CF di Sepanyol dari 2021 hingga 2022.

Malaysia B-23
Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

FAM yakin dan percaya, dengan latar belakang pengalaman yang dimiliki serta beliau telah setahun berada dalam sistem skuad B-23 kebangsaan, Juan Torres mampu mengemudi skuad ini bagi menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar nanti.

Dengan kekosongan jawatan penolong ketua jurulatih B-23 kebangsaan yang diisi Juan Torres sebelum ini, jawatan tersebut akan diisi oleh seorang jurulatih tempatan.

FAM telah memanggil beberapa jurulatih muda tempatan untuk sesi temu duga pada September lalu.

Selepas membuat penelitian dan penilaian menyeluruh, FAM telah membuat keputusan untuk memilih dan melantik bekas kapten skuad kebangsaan, Shukor Adan sebagai penolong ketua jurulatih B-23 kebangsaan yang baharu bagi membantu Juan Torres.

Kredibiliti, karakter dan kebolehan Shukor yang kini berusia 44 tahun diharap dapat membantu dalam memperkasakan lagi barisan pemain skuad B-23 kebangsaan.

Shukor bagaimanapun hanya secara rasmi akan memegang jawatan tersebut selepas kontraknya sebagai penolong jurulatih pasukan Liga Super, Kuala Lumpur City FC ketika ini berakhir.

Bagi set barisan kejurulatih baharu skuad B-23 kebangsaan ini, Juan Torres sebagai ketua jurulatih akan dibantu oleh Shukor Adan sebagai penolong ketua jurulatih; Kris Yong Wai Hwang sebagai jurulatih penjaga gol; Oscar Balaguer Cabeza dari Sepanyol sebagai jurulatih kecergasan serta Lee Jeyoon dari Republik Korea sebagai jurulatih analisis prestasi.