Aksi kelayakan Euro 2024 antara Belgium dan Sweden dihentikan seketika pada separuh masa dan kemudiannya dibatalkan berikutan insiden tembakan maut dua penyokong Sweden di Brussels pada awal Isnin, kata UEFA.

Belgium meningkatkan amaran keganasannya ke tahap tertinggi apabila seorang lelaki dalam video di media sosial mendakwa dia adalah penyerang yang bertanggungjawab di atas insiden itu.

“Susulan serangan pengganas yang disyaki di Brussels petang ini, telah diputuskan selepas berunding dengan kedua-dua pasukan dan pihak berkuasa polis tempatan, bahawa perlawanan kelayakan UEFA EURO 2024 antara Belgium dan Sweden telah dihentikan,” kata UEFA dalam satu kenyataan di laman webnya.

Wartawan Sweden pada perlawanan itu berkata mereka telah dimaklumkan mengenai serangan itu sejurus sebelum lagu kebangsaan dimainkan.

Pemain Sweden memberitahu UEFA mereka tidak mahu bermain pada separuh masa kedua dan Belgium bersetuju, kata penyiar Sweden TV6.

Kedudukan pada ketika itu adalah 1-1 apabila berita tentang penangguhan seketika  aksi Belgium vs Sweden diumumkan dan kemudian perlawanan dibatalkan. Semua penyokong kemudian dinasihati berwaspada ketika meninggalkan stadium dengan kawalan keselamatan ditingkatkan.

Kedua-dua mangsa dilaporkan memakai baju Sweden ketika ditembak, menurut media Sweden.

“Saya berasa benar-benar terkejut,” kata peminat Sweden Pernilla Califf kepada akhbar Aftonbladet.

“Kami tidak faham apa-apa. Semua orang terpaksa menanggalkan baju Sweden mereka dan menukar kepada pakaian neutral. Ini benar-benar tidak menyenangkan”

Jurulatih Sweden Janne Andersson memberitahu sidang akhbar bahawa mereka telah meminta untuk tidak meneruskan perlawanan itu.

“Apabila saya turun untuk rehat, saya mendapat maklumat ini. Serta-merta, saya merasakan bahawa ia sama sekali tidak masuk akal. Apakah jenis dunia yang kita hidup hari ini?” katanya kepada pemberita.

“Saya masuk ke bilik persalinan dan apabila pasukan mula bercakap, kami bersetuju 100 peratus bahawa kami tidak mahu bermain kerana menghormati mangsa dan keluarga mereka.”

Kapten Sweden Victor Lindelof berkata: “Pasukan keselamatan kami mengendalikannya dengan baik dan membuatkan kami selesa. Mereka menjelaskan bahawa ini adalah tempat paling selamat untuk berada di Brussels,” katanya.

Belgium telah pun menempah tempat ke pusingan akhir di Jerman tahun depan, manakala keputusan seri 1-1 Austria dengan Azerbaijan pada awal Isnin bermakna Sweden tidak layak ke Euro 2024.

“Belgium sudah layak dan kami tidak mempunyai peluang untuk ke Kejohanan Eropah, jadi saya tidak nampak sebab untuk bermain,” tambah Lindelof.