Dua pegawai perlawanan dari Malaysia, Amirul Izwan Yaacob dan Mohd Yusri Muhamad dipilih dalam kalangan lapan orang Pengadil dan Penolong Pengadil yang akan bertugas pada Final Liga Juara-Juara AFC 2020 di Doha, Qatar, malam ini.

Aksi final di Stadium Al Janoub itu yang menemukan kelab Iran, Persepolis dan kelab Republik Korea, Ulsan Hyundai FC juga adalah kali pertama final pertandingan kelab AFC menggunakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).

Amirul, 34, yang merupakan Pengadil FIFA akan bertindak sebagai Pembantu VAR bersama-sama Adham Mohammad Tumah Makhadmeh dari Jordan.

Yusri, 41, Penolong Pengadil FIFA pula akan bertindak sebagai Pegawai Kelima perlawanan bersama-sama Hettikankanamge Crishantha Dilan Perera dari Sri Lanka selaku Pegawai Keempat.

Aksi final pada jam 8.00 malam ini (waktu Malaysia) akan dikendalikan oleh Pengadil, Abdulrahman Ibrahim Y J Al-Jassim, dua Penolong Pengadil, Ramzan Saeed M A Al-Naemi dan Saoud Ahmed S A Almaqaleh serta dibantu oleh Pengadil VAR, Khamis Mohammed S A Al-Marri, kesemuanya dari Qatar.

Amirul dan Yusri serta pegawai perlawanan lain yang bertugas itu telah berada di Doha sejak sebulan lalu untuk mengendalikan perlawanan-perlawanan peringkat kumpulan dan kalah mati bagi Zon Timur yang terpaksa dilangsungkan secara berpusat ekoran pandemik COVID-19.

Amirul bertindak sebagai Pengadil bagi perlawanan Kumpulan E, Melbourne Victory lwn Beijing Guon pada 27 November 2020 serta sebagai Pegawai Keempat bagi tiga lagi perlawanan iaitu Beijing Guon lwn FC Seoul pada 21 November, Ulsan Hyundai lwn Perth Glory pada 24 November dan aksi Pusingan 16, Yokohama Marinos lwn Suwon Samsung Bluewings pada 1 Disember 2020.

Sementara Yusri menjadi Penolong Pengadil pada empat perlawanan iaitu Beijing Guon lwn FC Seoul pada 21 November, Ulsan Hyundai lwn Perth Glory pada 24 November, Melbourne Victory lwn Beijing Guon pada 27 November dan Yokohama Marinos lwn Suwon Samsung Bluewings pada 1 Disember 2020.

Sumber