Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan bahawa kesemua 14 pasukan yang menyertai Liga Super 2023 bakal menerima peningkatan agihan pendapatan sebanyak 96.55 peratus berbanding jumlah “distribution pool” yang diterima 14 pasukan ini pada 2022.
Baca Juga:
- KBS Dan MFL Anjur Tayangan Skrin Besar Aksi Liga Super Mulai Malam Ini
- RTM Akan Siarkan Secara Langsung 52 Perlawanan Liga Super 2023
- 16 Pasukan Dapat Lesen Beraksi Dalam Saingan Liga Super 2023
Buat kali pertama tahun ini MFL akan memperkenalkan agihan pendapatan berasaskan merit daripada hasil pendapatan MFL tahun ini mengikut kedudukan teratas sehingga kelab yang berada di tempat ke-14 Liga.
Pada tahun 2021-2022, susulan kesan pandemik Covid-19 yang melanda, agihan dilakukan berdasarkan dua asas iaitu;
– Agihan sama rata sebanyak RM500,000 kepada setiap kelab Liga Super dan RM250,000 kepada setiap kelab Liga Premier.
– Hanya kelab yang berada di kedudukan 3 teratas Liga Super atau Liga Premier akan memperoleh hadiah wang tunai tambahan.
Bagi tahun 2023, MFL menyediakan mekanisme agihan yang akan melihat semua pasukan mengetahui dengan jelas peningkatan pulangan mereka berdasarkan kedudukan di tangga Liga. MFL percaya pengagihan mengikut merit ini adalah langkah yang jelas bagi mendorong setiap kelab untuk berusaha mencapai prestasi terbaik sehingga akhir musim kerana setiap kedudukan di dalam Liga mempunyai nilai ganjaran.
Sistem pengagihan kepada 14 kelab Liga Super 2023 ini bakal menyaksikan peningkatan sebanyak lebih 96.55 peratus iaitu RM15.675 juta berbanding RM7.975 juta yang diagihkan kepada 14 kelab yang sama musim lalu.
MFL mengumumkan bahawa kesemua 14 pasukan yang menyertai Liga Super 2023 bakal menerima peningkatan agihan pendapatan sebanyak 96.55 peratus berbanding jumlah “distribution pool” yang diterima 14 pasukan ini pada 2022.#LigaSuper2023 #DemiLigaKita
— Malaysian Football League (@MFL_MY) March 28, 2023
Agihan musim ini akan membolehkan enam kelab terbaik dalam liga memiliki peluang untuk membawa pulang lebih RM1 juta manakala pasukan yang menduduki kedudukan paling rendah juga mampu membawa pulang sekurang-kurangnya RM600,000 berbanding hanya RM250,000 pada 2022.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam, peningkatan sebanyak RM6.95 juta itu akan diagihkan kepada setiap kelab berdasarkan prestasi masing-masing di penghujung musim ini tidak termasuk wang kemenangan kepada juara dan naib juara Piala MFL sebanyak RM500,000 dan RM250,000 sekali gus menjadikan jumlah agihan tambahan keseluruhan sebanyak RM7,700,000.
“Sistem agihan pendapatan berdasarkan merit ini sudah dibentangkan kepada semua Rakan Kongsi Liga dalam pertemuan bersama CEO-CEO kelab Liga Malaysia pada 15 Februari 2023 di mana sistem agihan pendapatan ini dilihat lebih adil buat kelab-kelab yang mempamerkan prestasi cemerlang pada sepanjang musim Liga Malaysia 2023. Pembentangan itu mendapat reaksi cukup baik dan mereka menerima cadangan agihan pendapatan berdasarkan merit untuk diperkenalkan tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Presiden MFL Dato’ Ab Ghani Hassan berkata, peningkatan agihan pendapatan kepada semua kelab Liga Super musim ini adalah satu petanda positif terhadap perkembangan Liga Malaysia.
“MFL melihat sistem agihan pendapatan ini akan menggalakkan semua kelab bersaing hebat bagi mendapatkan kedudukan terbaik sekali gus menerima lebih banyak pendapatan. Adalah tanggungjawab MFL sebagai badan pengelola liga untuk berusaha meningkatkan pendapatan kelab-kelab dan kami percaya dengan kerjasama syarikat-syarikat korporat serta rakan penyiar, Liga Malaysia dapat terus dikomersilkan bagi meningkatkan pendapatan kelab-kelab,” jelasnya.