Pengurus Croatia, Zlatko Dalic mendedahkan bahawa beliau cukup yakin dengan kemampuan penjaga golnya, Dominik Livakovic untuk menghadapi sepakan penalti ketika bertemu Jepun pada aksi pusingan 16, semalam.

Baca Juga:

Livakovic muncul wira buat Croatia selepas menafikan tiga sepakan yang diambil oleh Takumi Minamino, Kaoru Mitoma dan Maya Yoshida sekali gus berjaya menempah slot suku akhir.

Kecemerlangan penjaga gol berusia 27 tahun itu juga telah mengulangi pencapaian hebat Danijel Subasic yang turut menafikan tiga sepakan penalti Denmark di peringkat sama dalam edisi 2018 di Rusia.

Sehubungan dengan itu, Dalic mengakui bukanlah satu perkara yang mengejutkan melihat Livakovic cukup tenang dalam menghadapi situasi tertekan tersebut.

“Kami mempunyai seorang penjaga gol yang sangat hebat, dia tidak dapat dikalahkan,” ujar Dalic menurut laporan Fotmob.

“Apabila kami memulakan sepakan penalti, saya berasa sangat yakin. Dia sangat hebat ketika sesi latihan semalam dan saya tidak ragu-ragu bahawa dia akan melakukannya sekali lagi hari ini.”

“Kami telah melakukan beberapa pertukaran dan tidak memiliki [Luka] Modric, [Mateo] Kovacic dan [Ivan] Perisic di dalam padang tetapi semua masalah itu diselesaikan oleh Livakovic.”

“Dia telah membuktikan dirinya mampu menjadi seperti Subasic seperti ketika di Rusia, sejarah terus diulangi oleh dirinya,” tambah Zlatko Dalic lagi.

Croatia yang merupakan naib juara edisi lalu bakal membuat perhitungan suku akhir menentang pasukan pilihan ramai, Brazil di suku akhir.

 

 

Sumber