Zlatan Ibrahimovic mengakhiri kariernya penuh gemilangnya sebagai pemain bola sepak dengan mengumumkan persaraannya semalam.
Baca Juga:
- Schmeichel: Haaland Adalah Kombinasi Ibrahimovic & Ronaldo
- Toni Nasihati Zlatan Ibrahimovic, Sekiranya Tak Mampu Bersara Sahajalah
- Ibrahimovic: “Berani Betul Covid Ni Mencabar Aku”
Penyerang veteran itu mengumumkan keputusannya itu selepas kemenangan 3-1 AC Milan ke atas Verona.
“Tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak, bukan hanya kepada anda.
“Terlalu banyak emosi buat saya sekarang. Forza Milan dan selamat tinggal,” kata Ibrahimovic selepas aksi terakhir Serie A di San Siro.
Pemain 41 tahun dari Sweden itu dijangka hanya akan mengucapkan selamat tinggal kepada peminat Milan selepas mengumumkan akan meninggalkan juara tujuh kali Eropah itu Sabtu lalu.
Dia kembali bersama Milan pada tahun 2019. Sebelum itu dia membantu Milan memenangi Serie A pada tahun 2011.
Ibrahimovic membantu Milan kembali bersaing dalam kelompok teratas liga dan memenangi Scudetto musim lalu.
“Kali pertama saya datang ke sini anda memberikan saya kebahagiaan, kali kedua anda memberikan cinta.
“Anda mengalu-alukan kedatangan saya dengan tangan terbuka, anda membuatkan saya rasa seperti di rumah sendiri, saya akan menjadi Milanista sepanjang hidup saya,” katanya.
Sepanjang kariernya, Ibrahimovic memenangi gelaran liga di Belanda, Itali, Sepanyol dan Perancis, dengan trofi Eropah tunggalnya ialah ketika menjuarai Liga Europa bersama Manchester United pada tahun 2017.
Namun, pada usia 40 lebih beliau kelihatan semakin bergelut untuk berada di tahap terbaik ekoran kecederaan terbaharu dialaminya. Sebaik sahaja pulih daripada masalah Achilles tendon, beliau kini berhadapan kecederaan lutut pula.