Pemilik Kelab Bola Sepak TRW Kelantan FC, Norizam Turkiman atau dikenali sebagai ZamSaham merayu kepada pelbagai pihak agar tidak burukkan pasukannya itu lagi.

Baru-baru ini, kelab tersebut dikritik hebat oleh peminat bola sepak tempatan di media sosial apabila didapati menyediakan padang latihan yang buruk untuk kegunaan para pemain.

Menerusi satu hantaran yang tular di laman twitter, padang latihan TRW Kelantan dikatakan menyerupai padang sekolah kebangsaan dan tidak sesuai untuk sebuah pasukan bola sepak profesional.

Namun, ZamSaham menegaskan baliau baru sahaja mengambil TRW Kelantan dalam tempoh 3 tahun dan memerlukan masa untuk melakukan perubahan.

“Tak perlulah nak burukkan pasukan Kelantan FC, saya tahu TRW belum ada padang latihan. Saya baru ambik dari KAFA 3 tahun lepas dan bukannya 30 tahun. Hanya Allah ja tahu betapa susahnya nak build up TRW ni semula,” tulisnya di laman facebook rasmi. 

Sebelum ini, Zamsaham berkata pasukannya bakal mempunyai padang latihan sendiri sebelum tahun 2025.

Beliau turut berkongsi gambaran awal pusat latihan Kelantan yang dilihat serba moden dan canggih dimana pusat latihan baharu itu menggunakan warna utama pasukan iaitu merah dan putih. Namun, tiada maklumat lanjut mengenai kemudahan yang ada dalam pusat latihan tersebut.

“Impian dan realiti. Semuanya bermula dengan angan-angan idea dan usaha. Kita tawakkal. In sha Allah akan jadi kenyataan. Terima kasih di atas sokongan anda terhadap pasukan,” kata Zamsaham.

Melihat kepada perkara ini, Zamsaham dilihat mempunyai pelan jangka masa panjang bagi pasukan Kelantan dan ini merupakan salah satu langkah awal untuk menjadikan pasukan itu sebagai satu kelab profesional yang mempunyai fasiliti lengkap.