Pemilik pasukan Kelantan, Norizam Tukiman atau dikenali sebagai Zamsaham meluahkan kekecewaannya terhadap tindakan seorang penyokong pasukan tersebut yang disifatkannya sebagai melampau.

Baca Juga:

Hal ini kerana terdapat mesej berbaur ugutan bunuh yang diterima pemain import baharu Kelantan, Christian Mangaron Rontini di laman Instagram miliknya.

Penyokong tersebut dilihat memberikan amaran kepada Rontini supaya bermain dengan baik bersama Kelantan dan beliau akan menerima akibat jika beraksi sebaliknya.

Ia jelas bukan satu permulaan yang baik buat pemain kacukan Filipina-Itali itu kerana beliau hanya diperkenalkan sebagai rekrut baharu Kelantan, semalam.

Sehubungan dengan itu, Zamsaham mahu laporan Polis segera dibuat kerana melihat ugutan sedemikian perlu diambil serius.

“Saya amat terkejut dan kecewa dengan tindakan penyokong Kelantan yang menghantar ugutan bunuh kepada pemain baru Kelantan FC, Christian Mangaron Rontini.”

“Sepatutnya sebagai penyokong yang bijaksana haruslah menyambut baik kehadiran pemain baru, lebih-lebih lagi Rontini adalah pemain import yang harus ditunjukkan kepadanya budaya Malaysia yang peramah dan baik.”

“Sekali lagi saya kecewa dengan kenyataan ugutan daripada penyokong ini dan sudah meminta pasukan pengurusan membuat laporan Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” ujar Zamsaham menurut kenyataan di laman Facebook peribadinya.

Ia merupakan tahun kedua Christian Rontini beraksi di Malaysia apabila beliau menyarung jersi Pulau Pinang dalam saingan Liga Super musim lalu.

 

Sumber