Ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan mengharapkan satu mata yang diraih ketika menentang Pahang di Stadium Darul Makmur, Ahad lalu dapat meningkatkan aksi anak buahnya menjelang aksi seterusnya bertemu Terengganu FC (TFC).
Perlawanan tersebut menyaksikan anak buah Zainal dikejutkan seawal minit pertama menerusi jaringan tandukan dihasilkan oleh pemain import, Manuel Hidalgo dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria menyelamatkan maruah Melaka menerusi jaringan penyamaan pada masa kecederaan.
Zainal menyifatkan keputusan seri tersebut sekurang-kurangnya menyelamatkan mereka untuk tidak terus berada di kedudukan dua tercorot apatah lagi perlawanan menentang Terengganu FC pastinya akan lebih sukar.
“Alhamdulillah kami bangkit hingga ke wisel penamat walaupun kecuaian pemain pada awal permainan telah mendera kita untuk bekerja lebih keras sehingga tamat perlawanan.
“Satu mata yang berharga dan kita perlu teruskan rentak yang lebih baik sedikit demi sedikit kerana kita akan menentang Terengganu selepas ini.”
“Apa yang saya boleh katakan, memang tekanan tinggi ketika lawan Pahang kerana dua dua nak elak zon penyingkiran dan masing-masing baik Melaka, Pahang dan Perak, perbezaan mata tidak terlalu jauh”, tambah Zainal Abidin lagi.
Meskipun sudah berjaya keluar daripada zon penyingkiran, Melaka terikat 12 mata bersama Perak yang kini di tangga kedua terbawah dan Pahang pula hanya berkelebihan satu mata berbanding dua pasukan tersebut.
Ketika Melaka United bakal melayani kunjungan Terengganu di Stadium Hang Jebat pada malam esok, Perak yang dibelenggu pelbagai masalah akan berhadapan Kuala Lumpur City. Manakala Pahang pula akan ‘terbang’ ke Stadium Likas untuk menentang Sabah.
Baca artikel lain dari kami mengenai perkembangan bola sepak tanah air:
Perlawanan Melibatkan KDA Dan Kuching City Ditunda Ke Tarikh Baharu