Para peminat bola sepak pastinya sudah melihat video yang tular dia media sosial susulan kecederaan dialami pemain tengah Perak, Syukri Baharun ketika aksi menentang Kuching City, malam tadi.

Syukri yang masuk di minit ke-88 bagi menggantikan Muhammad Hakimi Md Isa telah diterjah dengan begitu kasar oleh pemain Kuching City, Zahrul Nizwan Joe Kifli @ Zulkeflee.

Insiden tersebut nyata membuatkan pengendali pasukan, Yusri Che Lah berang, apatah lagi pengadil perlawanan, Mohd Faisal Ridzuan tidak melayangkan sebarang kad kepada Zahrul Nizwan.

Susulan terjahan kasar itu, difahamkan beliau berkemungkinan besar mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada lutut kanannya.

Sekiranya kemungkinan itu menjadi kenyataan, ia nyata sesuatu yang cukup perit untuk dilalui oleh Syukri Baharun kerana beliau baharu sahaja pulih sepenuhnya daripada kecederaan Medial Collateral Ligament (MCL) pada lutut kiri.

Berikutan itu, Yusri tampil memberikan semangat kepada anak buahnya itu untuk kuat mengharungi dugaan yang datang.

“Perancangan Allah itu lebih baik daripada perancangan kita,” ujar Yusri di Instagram Story miliknya yang ditujukan kepada Syukri.

“Kadang-kadang Allah menghalang perancangan kita itu untuk menguji kesabaran kita dan Allah akan memberi yang lebih baik daripada apa kita harapkan. Sabar itu indah.”

“Saya menghargai sumbangan kami membantu pasukan pada malam ini. ‘Come back stronger’ Syukri, saya akan sentiasa berada di belakang kamu.”

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Negeri, Sarawak itu menyaksikan Perak menang 2-1 hasil jaringan Luciano Guaycochea dan Seo Seonung di setiap babak.

Selain itu, pemain import di jentera pertahanan, Jesper Nyholm turut mengalami kecederaan pada separuh masa pertama hingga memaksa beliau dikeluarkan pada minit ke-34.