Bekas bintang Manchester City, Yaya Toure sah menandatangani kontrak dengan kelab divisyen 2 Liga China, Qingdao Huanghai. Pemain yang berusia 36 tahun itu tidak mempunyai pasukan sejak meninggalkan Olympiacos pada Disember tahun lepas.

Menurut laporan daripada Skysports, Toure dibawa masuk bagi menggantikan pemain tengah kelab itu, Joan Verdu yang mengalami kecederaan dan diberi peranan untuk membantu Qingdao Huanghai layak ke Liga Super China (CSL) musim depan.

Kelab tersebut kini sedang mendahului carta liga divisyen dua China dengan mengumpulkan 30 mata selepas 15 perlawanan.

“Sejak permulaan karier, saya sentiasa sukakan cabaran baru dan kini, saya memilih untuk mengambil cabaran baru ini untuk mencipta sejarah dengan Qingdao Huanghai.

“Ini merupakan kelab muda yang amat menarik dengan potensi yang besar dan kami berkongsi falsafah yang sama, iaitu untuk bermain bola sepak yang indah.

“Saya amat berbesar hati untuk berkembang dan berjaya dengan pasukan ini,” katanya.

Toure yang pernah menerima empat Anugerah Pemain Afrika Terbaik Tahunan mempunyai pengalaman beraksi dengan pasukan Barcelona dan Monaco. Malah, beliau mempunyai 101 kaps dengan skuad kebangsaan Ivory Coast dan 19 gol di pentas antarabangsa.

“Saya percaya pengalaman saya dalam bola sepak akan menawarkan sesuatu yang baru untuk kelab yang sedang meningkat naik ini. Dengan bersama-sama, kami mampu mencipta sejarah yang hebat.

“Saya tidak sabar untuk melihat bola sepak saya melakukan magis sekali lagi. Ayuh menikmati bola sepak bersama-sama!” katanya.

Sebelum ini, ejennya, Dimitri Seluk mendakwa pemain itu sudah bersara namun ia pantas dinafikan oleh Toure yang menjelaskan beliau masih boleh bermain bola sepak sehingga kini.

“Bersara? Tidak pernah. Saya cintakan bola sepak dan masih boleh bermain untuk beberapa tahun. Saya juga sedang menyiapkan diri untuk mengambil kursus kejurulatihan tetapi menjadi jurulatih sepenuh masa bukan dalam perancangan ketika ini,” jelasnya.

Sumber