Ketika Arsene Wenger datang ke Liga Perdana Inggeris, dia menunjukkan sikap dia seorang idealis melebihi realis. Bayangkan dia masuk ke dalam kem Arsenal yang ketika itu sarat dengan pemain tidak berdisplin.
Wenger menyatakan dia mahu membentuk pasukan dengan DNA bola sepak dia sendiri. Dan ramai tidak yakin dengan Wenger. Ramai pengurus sebelum itu bersifat idealis dan kesemuanya hanya tinggal idea.
Media di Inggeris mulai menantikan hasil daripada sifat idealis Wenger ini.
Wenger terus mengebom bolik persalinan Arsenal. Sasarannya bukan calang calang, tetapi pemain senior yang tidak berdisiplin. Paul Merson antaranya. Pemain yang ketagih alkohol ini antara pemain yang mulai dikawal oleh Wenger.
Tony Adams ada reputasi selalu menggunakan pengaruhnya di bilik persalinan dan mengurangkan kuasa pengurus.
George Graham sebelum ini tidak berani melakukan sesuatu yang meletakkan mereka dalam risiko hilang kawalan di bilik persalinan.
Agak ironi, apabila Adams menjadi salah seorang legenda di bawah Arsene Wenger bersama yang lain.
Tindakan berani bersemuka dan berterus terang dengan pemain bintang yang bermasalah itu dianggap akan membuatkan hayat karier pengurus dalam bahata.
Namu Wenger tak pernah terfikir begitu. Dia masuk ke Arsenal, dia membentangkan blue print apa yang dia mahukan dan memberitahu organisasi bernama Arsenal yang pernah diuruskan oleh Herbert Champman yang mencipta sistem piramid – yang kemudian menjadi rujukan di seluruh dunia.
Arsenal pasukan pertama yang memperkenalkan nombor jersi pada pemain dan kemudian menjadi rujukan kepada posisi pemain. Wenger tak gentar. Masalah moden harus diselesaikan dengan solusi moden.
Wenger memberitahu para pemain Arsenal, cara hidup yang hancur tidak akan membantu karier mereka walaupun sebagus mana mereka secara teknikal.
Pengurusan holistik
Paling gila, Wenger meminta kuasa penuh di atas kesemua pentadbiran termasuk scouting, pengurusan staf kejurulatihan, perpindahan pemain. Oleh sebab itu, dalam hayat Wenger sebagai pengurus, Arsenal tak pernah ada Sporting Director.
Namun Wenger mampu, kerana dia Wenger. Pengurus yang pakar dalam pentadbiran dan kejurulatihan. Emirates yang berdiri megah selepas itu, salah satu orang penting adalah Wenger. Membantu kelab menjana dan menjimatkan wang.
Kalau anda semua mengikuti perkembangan Arsene Wenger, beberapa bintang yang discouting oleh pasukannya sangat luar biasa. Termasuk Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Gigi Buffon, Gerard Pique, Vincent Kompany, Lionel Messi, Paul Pogba, Jadon Sancho dan ramai lagi.
Namun masalah utama Wenger adalah, beliau seringkali diminta untuk berjimat kerana stadium baharu.
Di bawah Wenger Arsenal tetap membeli bintang meningkat naik dan menjadikan mereka kelas dunia. Ini termasuk Emmanuel Petit, Marc Overmars, dan Nicolas Anelka, Dibeli dengan harga yang murah, dan hasilnya luar biasa. Kesemua nama itu ditandatangani ketika di Highbury.
Le Professeur juga berjaya ‘mengail’ hasil lain seperti seperti Patrick Vieira, Dennis Bergkamp, Robert Pires, Thierry Henry, dan Jens Lehmann.
Nama nama penting dalam memberikan kejuaraan Invincibles kepada Arsenal.
Wenger pada awalnya dilihat seorang diktator. Namun selepas pemain mengenalinya dan menghormati kuasanya sebagai pengurus, mereka akan tahu betapa penyayangnya Wenger.
Dialah jurulatih yang menawarkan kontrak baharu secara senyap senyap kepada Santi Cazorla ketika kaki pemain itu ‘hampir hilang’. Wenger tak mahu kalau tiba tiba dia dipecat, pemain itu tidak mendapat kebajikan sepatutnya.
Cazorla mendedahkan: “Saya terhutang budi dengan Wenger. Dia menyuruh saya fokus kepada pemulihan dan jangan risau soal kontrak.”
Abou Diaby antara pemain yang mendapat kontrak lanjutan ketika pemain tersebut bergelumang dengan kecederaan.
Bukan senang seorang idealis mahu membentuk satu kelompok manusia yang terdiri daripada pemain bergaji beratus ribu pound sebulan untuk mendengar, memahami dan menghormati pendekatannya.
Oleh itu dalam polisi Arsene Wenger, tidak ada pemain Arsenal gajinya lebih tinggi daripada beliau. Kerana Wenger mahu pemain sentiasa sedar mereka di bawah pengurus.
Sehinggalah muncul pemain bernama Ozil. Dikatakan pemain pertama menerima gaji lebih besar daripada Wenger. Hanya Wenger tahu kenapa beliau sanggup berbuat demikian.
Menurutnya, Ozil pemain istimewa. Pemain yang anda boleh korbankan perkara lain untuk beliau dan dia akan memberikan hasil lumayan. Ozil pemain tak suka bertahan. Wenger membentuk pasukan yang boleh membantu Ozil bertahan dan Ozil fokus kepada mencipta peluang.
Hasilnya? Statistik tak menipu, Ozil mencipta jumlah assist luar biasa.
https://twitter.com/ZakGass/status/1345366024712052736
Selepas beberapa tahun bergelar pengurus Arsenal, Wenger mulai menjadi kegerunan kepada Sir Alex Ferguson yang ketika itu dianggap immortal dan tidak mampu dikalahkan.
Wujud perseteruan kedua dua mereka. Wenger menjadi pengurus yang menganggu dominasi Fergie. Mereka seringkali bertengkar dan bermain perang psikologi.
Ryan Giggs mendedahkan, pemain United diminta untuk membenci pemain Arsenal. Betapa kuatnya perseteruan mereka. Namun selepas Sir Alex bersara, dia dan Wenger berkawan baik dan menganggap Wenger salah seorang seteru penting dalam kariernya.
Di pusat latihan, Wenger menukar cara bola sepak Inggeris dengan bola sepak mirip total football.
Beliau menekankan aspek permainan hantaran segera, one touch football, permainan di ruang sempit dengan close control serta permainan di zon 14. Wujudlah legenda zon 14 bernama Bergkamp.
Satu ruang yang sukar dipecahkan dan ramai pengurus di England ketika itu akan pergi ke sisi untuk hantaran lintang. Wenger pula memecahkan zon 14 yang digelar media Inggeris sebagai tight zone, between the line, dan sebagainya. Menggambarkan zon itu sebagai zon paling padat.
Wengerball
Dari situ wujudlah Wengerball. Wenger tak ada pemain seperti Ronaldinho dalam zon 14 itu. Beliau ada pemain yang tak ada skil yang terlalu gila, cuma Bergkamp yang memiliki kawalan bola pertama yang sangat sempurna dan bermain dengan mudah.
Lalu Wengerball digelar bola sepak mudah / simple football. Mendiang Cruyff pernah berkata: “Bola sepak adalah permainan yang mudah, namun untuk bermain mudah adalah perkara paling sukar.”
Arsenal kemudian mulai menuai hasilnya. Dan mereka memenangi beberapa siri Liga Perdana Inggeris serta kejuaraan domestik lain.
Cuma malangnya, salah satu skuad terbaik pernah wujud di Eropah pada 2006 dan ianya adalah skuad Wenger. Mereka tewas di tangan Barcelona pada final UCL. Satu satunya kejuaraan yang hilang daripada serpihan puzzle Wenger.
Wenger kemudian berdepan dengan cabaran lebih besar. Jika sebelum ini beliau memberikan masalah kepada dominasi Fergie, selepas itu, Fergie dan Wenger berdepan cabaran daripada kehadiran kelab seperti Chelsea dan Man City yang selepas itu dibiayai wang daripada pemilik yang kaya raya.
Pengorbanannya tidak dibalas
Wenger yang sudah terbiasa memanjakan pengurus dengan memberikan untung berlipat ganda, gagal untuk menyaingi kelab kelab lain di bursa perpindahan.
Wenger malah pernah menyatakan Arsenal tak akan mampu bersaing secara kewangan dengan kelab kelab lain.
Dan ianya pandangan yang sukar diterima peminat kerana menurut peminat Arsenal, wang itu banyak namun pemilik kelab, era Kroenke tidak mahu melabur lebih banyak.
Pendekatan Wenger yang satu ketika dahulu dianggapnya akan menyenangkan pemilik dalam usaha membantu Arsenal memiliki rumah mewah di Emirates – kini telah memakan dirinya sendiri.
Pada satu ketika Wenger merindui Highbury dan menyatakan bahawa roh sebenar Arsenal masih tertinggal di Highbury dan mereka masih mencari semangat itu sehingga ke hari ini.
Wenger: “Sometimes while heading to the Emirates, I pass by Highbury. I feel the soul and the spirit. The Emirates move was my nightmare years, my pressure years. The board demanded Champions League football every year while filling the stadium with 55k fans every week.” pic.twitter.com/6MGrUQVdvw
— Ahmed (@Ahmed91Gooner) May 6, 2018
Sebab itulah Wenger sentiasa menjadikan Anfield sebagai salah satu stadium yang beliau sukai.
Ini kerana menurut Wenger, Anfield adalah legasi semangat Liverpool. Berbeza dengan Arsenal, walaupun berjaya membina stadium baharu serba mewah namun mereka masih tidak dapat menemui semangat mereka yang pernah memberikan mereka kegemilangan.
Arsène Wenger:
🗣 "I moved from Highbury, which was similar to Anfield, but there was a soul in the stadium. We built a new stadium but we never found our soul – we left our soul at Highbury." pic.twitter.com/lZtbYrV9KN
— Football Tweet ⚽ (@Football__Tweet) January 20, 2020
Pada akhir kariernya di Arsenal, Wenger banyak dicemuh dengan kempen singkir Wenger / Wenger Out.
Wenger meninggalkan Arsenal dengan status pengurus paling berjaya dalam sejarah kelab.
Semuanya hasil ideanya yang idealis yang memecah realisme berdasarkan keadaan semasa Arsenal ketika beliau mengambil alih.
Daripada kisah Wenger, kita sedar, tiada apa yang mustahil jika kita benar benar yakin dan tahu apa yang kita lakukan. Dan berpada padalah berkorban untuk bos kita. Apapun Wenger tetap legenda sepanjang zaman.