Pengurus skuad kebangsaan Maghribi, Walid Regragui tampil mempertahankan corak permainan anak buahnya sehingga berjaya mencipta kejutan mara ke separuh akhir Piala Dunia 2022.

Baca Juga:

Mara ke separuh akhir dengan penuh kejutan, Maghribi bagaimanapun dilihat lebih banyak bertahan dan mengharapkan kepada serangan balas pantas untuk mengancam kubu lawan.

Hal ini jelas dibuktikan apabila mengikut statistik sepanjang lima perlawanan dihadapi setakat ini, skuad The Atlas Lions hanya mencatatkan purata 31.8 peratus penguasaan permainan.

Malah, jika dilihat pada aksi pusingan 16 dan suku akhir, Maghribi tidak mampu untuk mencapai 30 peratus penguasaan bola.

Hujah tersebut dikuatkan lagi dengan hanya lima jaringan yang dapat dijaringkan iaitu empat gol ketika pusingan kumpulan manakala satu lagi hadir sewaktu menundukkan Portugal di suku akhir.

Bagaimanapun, Regragui nyata tidak terganggu dengan keadaan tersebut sebaliknya melihat hanya kemenangan menjadi keutamaan buat beliau dan anak buahnya.

“Ramai orang Eropah yang mengkritik corak permaina kami tetapi ia kerana mereka tidak suka melihat pasukan dari Afrika bermain dengan bijak.”

“Mereka beranggapan bahawa negara-negara Afrika adalah pasukan yang seronok untuk dihadapi tetapi akhirnya tersingkir. Tetapi hari-hari itu sudah pun berakhir.”

“Lihat pada aksi Perancis bertemu England, mereka tidak mencipta 40 peluang, mereka hanya efektif dalam menyempurnakan peluang.”

“Kami mempunyai 0.01 peratus peluang untuk memenangi Piala Dunia pada awalnya, sekarang ini kami memiliki 0.03 peratus peluang tetapi kami akan mencuba dan memusnahkan statistik itu,” ujar Walid Regragui  menurut laporan Goal.

Maghribi akan bertemu juara bertahan, Perancis pada aksi separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada awal pagi esok.

Sumber