Vietnam gagal menggunakan kesempatan beraksi di laman sendiri apabila terikat 2-2 bertemu Thailand pada aksi final pertama Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang berlangsung di Stadium My Dinh.

Seperti dijangka, aksi menarik ditampilkan kedua-dua pasukan dalam usaha untuk mendapatkan jaringan dengan hantaran pendek serta tempo pantas.

Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-24 apabila hantaran lintang menarik dilakukan Que Ngoc Hai ditanduk masuk pemain penyerang, Ngunyen Tien Linh.

Empat minit kemudian, giliran Nguyen Doc Hoang Minh pula menguji gawang Thailand, namun rembatan jarak jauh diledakkannya berjaya diselamatkan penjaga gol, Kampon Phatomakkakul.

Memasuki minit ke-43, Theerathon Bunmathan terlepas peluang untuk mengikat kembali kedudukan tetapi sepakan percumanya sekadar singgah di palang gol.

Kehampaan itu ditebus Poramet Arjvirai selepas beliau melepaskan rembatan yang menewaskan penjaga gol Vietnam, Dang Van Lam susulan hantaran jauh dilakukan Theerathon.

Jaringan itu jelas menyemarakkan lagi api perjuangan anak buah Mano Polking sehingga berjaya menambah jaringan kedua menerusi Peeradol Chamratsamee.

Ketika Thailand sedang berkira-kira untuk meraikan kemenangan, Vietnam memadamkan kelebihan itu pada minit ke-88 menerusi rembatan jarak jauh diledakkan Vu Van Thanh.

Keputusan 2-2 itu kekal hingga tamat permainan untuk memberikan kelebihan dua gol tempat lawan dimiliki Thailand menjelang pertemuan kedua yang dijadualkan berlangsung pada Isnin depan di Stadium Thammasat, Pathum Thani.