Malam ini, skuad Harimau Malaya bakal menentang Vietnam di Stadium My Dinh Hanoi dalam perlawanan ketiga kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Ketua jurulatih, Kim Pan Gon menegaskan bahawa beliau sudah bersedia untuk berdepan rakan senegaranya, Park Hang Seo dan perlawanan dijangka berlangsung sengit.

Bagaimanapun, beliau mengakui ia bukan tugas yang mudah kerana Vietnam memiliki ramai pemain berkualiti dan berharap pemainnya dapat memberikan aksi terbaik.

Pasti menarik untuk melihat apakah perancangan Kim Pan Gon menghadapi perlawanan ini dan diramalkan terdapat beberapa perubahan dalam kesebelasan utama.

Berikut ialah ramalan kesebelasan utama skuad Harimau Malaya menentang Vietnam:

(Formasi: 3-4-3)

Kim Pan Gon dijangka mengekalkan formasi yang sama digunakan dalam 2 perlawanan sebelum ini. Selepas direhatkan dalam perlawanan menentang Laos, Syihan Hazmi kembali mengisi posisi penjaga gol negara.

Di bahagian pertahanan, Harimau Malaya kehilangan khidmat Khuzaimie Piee yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan yang di alami ketika menentang Myanmar.

Namun begitu, Fazly Mazlan dijangka akan mengisi posisi pertahanan tengah berganding dengan Sharul Nazeem dan Dominic Tan. Mereka turut dibantu oleh dua pertahanan kiri dan kanan iaitu Ruventhiran serta Azam Azmi yang juga memainkan peranan untuk membantu jentera serangan.

Stuart Wilkin yang menjaringkan satu gol ketika menentang Laos mungkin jadi pilihan Kim Pan Gon untuk mengemudi jentera tengah berganding dengan Brendan Gan.

Manakala bahagian serangan, Kim Pan Gon sudah tentu akan menurunkan Faisal Halim yang menjaringkan 3 gol dalam saingan Piala AFF Mitshubishi Electric 2022 setakat ini untuk mengisi posisi sayap kiri.

Penyerang baharu Sabah, Darren Lok bakal jadi pilihan untuk mengisi posisi sebagai penyerang utama sambil dibantu oleh pemain naturalisasi, Lee Tuck. Selain memiliki work rate yang tinggi, Darren juga rajin mengejar bola sekaligus memberi tekanan kepada benteng pertahanan Vietnam.