Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menegaskan bahawa beliau sudah bersedia untuk berdepan rakan senegaranya, Park Hang Seo pada pertembungan menentang Vietnam di Stadium My Dinh, malam esok.
Baca Juga:
- Vietnam vs Malaysia: Park Hang Seo Tak Sabar Uji Taktikal Kim Pan Gon
- Kim Pan Gon Sedang Siapkan Senjata Rahsia Untuk Skuad Harimau Malaya
- Kim Pan-gon Jadikan King’s Cup Medan Persiapan Ke Piala Asia
Bagaimanapun, beliau mengakui ia bukan tugas yang mudah kerana Vietnam memiliki ramai pemain berkualiti dan berharap pemainnya dapat memberikan aksi terbaik.
Malah, dia juga sudah mengenalpasti setiap kelemahan dan kekuatan pasukan lawan itu dan berharap para pemainnya dapat memberikan aksi yang terbaik.
“Vietnam merupakan antara pasukan terkuat di Asia Tenggara tetapi mereka juga ada kelemahannya. Saya tidak akan beritahu kelemahan mereka kepada media dan hanya kongsikan maklumat bersama barisan jurulatih.
“Pasukan kami memberi fokus kepada proses pemulihan. Sudah tentu cuaca di sini cukup berbeza daripada di Malaysia tetap saya tidak fikir ia akan memberi kesan kepada pemain. Seluruh pasukan kini sangat yakin untuk menghadapi perlawanan ini,” jelas Kim Pan Gon di sidang media.
Kim Pan Gon juga tidak menafikan keupayaan tinggi Hang Seo yang berjaya memacu pasukan kebangsaan Vietnam untuk berada pada tahap terbaik sejak dilantik sebagai jurulatih pada 2017.
Ini kali pertama beliau bertemu dengan jurulatih itu di peringkat antarabangsa.
“Encik Park adalah seorang yang popular di Korea Selatan. Di kampung saya, semua orang kenal dia. Ini satu penghormatan dapat bertemu pasukan yang dikendalikan oleh Park Hang Seo. Saya akan cuba yang terbaik dalam perlawanan ini.
“Saya akui menentang Vietnam adalah perlawanan paling sukar setakat ini. Tetapi kami tidak takut kepada mana-mana pasukan termasuk Vietnam. Saya percaya dan yakin dengan pemain dan berharap dapat menewaskan Vietnam.
“Kami sasar untuk mengutip mata dan mara ke peringkat separuh akhir selaku juara Kumpulan B,” tegas Kim Pan Gon.