Juara 2 kali, Vietnam menepati ramalan apabila berjaya melangkah ke final Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 buat kali keempat selepas menewaskan Indonesia 2-0 dalam aksi separuh akhir 2 di Stadium My Dinh sebentar tadi.

Baca Juga:

Skuad kendalian Park Hang Seo itu bermain dengan cukup semangat sejak awal minit perlawanan di hadapan ribuan penyokong sendiri bagi mencapai misi untuk meraih kejuaraan kali ketiga dalam sejarah Piala AFF.

Penyerang prolifik, Nguyen Tien Linh menceriakan ribuan penyokong tuan rumah apabila menjaringkan gol pembukaan seawal minit ke 3 selepas menyudahkan hantaran jarak jauh.

Indonesia cuba bangkit namun mereka kelihatan sukar untuk menembusi benteng pertahanan Vietnam yang beraksi dengan cukup berdisiplin ditambah pula dengan keadaan padang kurang baik.

Perlawanan juga berlangsung agak tegang dengan beberapa keputusan meragukan oleh pengadil utama sekaligus menimbulkan pergaduhan antara pemain. Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Vietnam bangkit mengandakan serangan dan kembali menambah derita Indonesia pada minit ke 47.

Tien Linh sekali lagi membuktikan ketajaman penyudah apabila menanduk masuk gol kedua yang mudah menewaskan penjaga gol Indonesia, Nadeo Argawinata.

Beliau merupakan penjaring terbanyak Piala AFF 2022 dan berkongsi 5 gol setakat ini bersama penyerang berpengalaman Thailand, Teerasil Dangda.

Tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh Indonesia dan mereka jelas berdepan masalah untuk menembusi benteng pertahanan Vietnam yang masih mengekalkan rekod tanpa bolos setakat ini.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan ia bermakna Indonesia terus kemarau kejuaraan Piala AFF manakala Vietnam kini hanya perlu menanti keputusan perlawanan Thailand menentang Malaysia esok.

Perlawanan akhir bakal berlangsung pada 13 Januari dan 16 Januari ini secara timbal balik. Jika Malaysia menang, mereka akan terus terbang ke Hanoi menentang Vietnam untuk perlawanan akhir pertama sebelum kembali ke Kuala Lumpur.