Ketua jurulatih baharu pasukan kebangsaan Thailand, Akira Nishino menegaskan pasukan Vietnam merupakan lawan paling sukar dan menjadi ancaman utama yang bakal dihadapi oleh skuad bimbingannya dalam saingan peringkat kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Thailand diundi dalam kumpulan G disamping Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan tiga lagi pasukan yang merupakan seteru serantau iaitu Malaysia, Indonesia dan Vietnam dalam saingan peringkat kelayakan kali ini. Menurut Akira, persaingan dalam kumpulan G adalah seimbang.

Vietnam

“Kami berada dalam kumpulan yang tidak terlalu sukar, namun tidak terlalu mudah. Satu hal yang baik adalah kita tidak perlu menempuhi perjalanan jauh (kecuali menentang UAE) kerana pasukan lawan majoritinya berada di rantau ASEAN,” kata Nishino.

Skuad Gajah Perang akan memulakan saingan peringkat kelayakan dengan menjamu Vietnam di laman sendiri pada 5 September ini dan Akira berpendapat perlawanan tersebut akan menjadi satu perlawanan yang sukar. Namun, pengendali berusia 64 tahun itu yakin anak-anak buahnya akan menampilkan persembahan terbaik sekaligus meraih kemenangan.

“Berdasarkan pengalaman saya di Jepun sebelum ini, saya yakin saya boleh meningkatkan tahap serta kualiti pemain Thailand. Saya akan menerapkan teknik yang sama sepertimana ketika saya membimbing skuad kebangsaan Jepun terhadap pemain Thailand.

Akira Nishino
(AP Photo/Andrew Medichini)

“Saya berharap kita dapat menewaskan Vietnam dan pasukan kebangsaan Thailand dapat mara dengan lebih jauh dalam saingan kelayakan kali ini,” tambahnya.

Akira Nishino membimbing pasukan kebangsaan Jepun pada temasya Piala Dunia tahun lalu dimana The Samurai Blue mara ke peringkat 16 pasukan terakhir. Namun, Jepun terpaksa akur apabila mereka tewas kepada Belgium dengan keputusan 3-2 sekaligus terkeluar daripada saingan.