‘Sahabat yang baik bukan hanya ada ketika kita gembira, malah mereka hadir di saat memerlukan’, itulah kata pujangga yang cukup tepat untuk dikaitkan dengan trio Real Madrid, Antonio Rudiger, David Alaba dan Toni Kroos.

Baca Juga:

Hal ini kerana Alaba dan Kroos menunjukkan semangat setiakawan dengan menzahirkan rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap rakan sepasukannya itu selepas Rudiger mengalami kecederaan dibahagian muka pada aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022/23 bertemu Shakhtar Donetsk.

Kulit pada bahagian muka pemain pertahanan kental itu koyak teruk selepas beliau bertembung dengan penjaga gol tuan rumah, Anatoliy Trubin ketika beliau melakukan tandukan yang sekali gus menghadiahkan jaringan penyamaan buat Real Madrid pada minit ke-95.

Ekoran kecederaan yang dialami, Rudiger dengan serta-merta dibawa ke bilik rawatan Stadion Wojska Polskiejo, Warsaw dimana doktor, Felipe Segura Ortiz bersama beberapa orang lagi kakitangan pasukan sudah bersedia untuk menjahit luka tersebut.

Menurut Felipe, luka yang dialami oleh Antonio Rudiger itu memerlukan sehingga 20 jahitan.

Tidak mahu rakannya itu bersendirian menahan kesakitan, David Alaba pantas masuk ke bilik tersebut lalu bertanyakan khabar dan turut mengucup kepala Rudiger sebagai tanda sokongan.

Kemudiannya, giliran Kroos pula masuk untuk menenangkan rakan senegaranya itu dan kedua-dua mereka setia menunggu sehingga selesai proses menjahit luka tersebut.

Meskipun rakan sepasukan lain turut meninjau keadaan di bilik tersebut, kesetiaan Alaba dan Kroos menunggu sehingga Felipe Segura menyelesaikan proses jahitan tersebut nyata mencuri tumpuan. Malah, kedua-dua pemain itu juga mengiringi Rudiger menuju ke bilik persalinan.

Keadaan itu menunjukkan betapa semangat setiakawan yang cukup menebal dalam diri Alaba dan Kroos kerana pastinya tidak mahu Rudiger menghadapi saat sukar itu berseorangan diri dari mula hingga ke akhirnya.

Mungkin ada beranggapan ia merupakan perkara biasa tetapi hakikatnya itulah erti nilai persahabatan bagi mereka yang menghargai!

Sumber