Juara ‘treble’ musim ini, Manchester City seperti diketahui telah melancarkan jersi ‘home’ baharu bagi menghadapi kempen 2023/24 pada pertengahan Mei lalu yang mana The Cityzens meraikan ulang tahun ke-20 perpindahan bersejarah kelab tersebut dari Maine Road ke Etihad Stadium.

Baca Juga:

Selepas 80 tahun beraksi di Maine Road, Etihad Stadium yang sebelum ini dinamakan sebagai City of Manchester Stadium telah menjadi kubu kuat buat Manchester City bermula musim 2003/04.

Sehubungan dengan itu, jersi dengan keluaran serta tajaan jenama terkenal dunia, PUMA telah memberikan penghormatan kepada ciri ikonik stadium dan diilhamkan oleh jersi yang dipakai semasa musim pertama di gelanggang baharu tersebut.

Penghijrahan itu bukan sahaja memberikan persekitaran baharu buat pasukan dan penyokong, malah ia turut menjadi titik tolak kepada legasi baharu yang menjadi bukti kehebatan Manchester City sejak diambil alih Sheikh Mansour bin Zayed Al Nahyan pada 1 September 2008.

Grafik hadapan jersi baharu itu diilhamkan daripada seni bina unik Stadium Etihad, khususnya empat menara gergasi yang boleh dilihat dari luar stadium yang membentuk jalur tona pada jersi.+

Poskod stadium ‘M11 3FF’ dipaparkan di belakang leher untuk meraikan 20 tahun di Etihad Stadium dan jersi itu turut menampilkan kolar leher V putih yang diinspirasikan daripada jersi ‘home’ yang digunakan di stadium tersebut pada musim 2003/04.

Jersi Manchester City ini menampilkan beberapa teknologi canggih untuk memberikan prestasi optimum dan keselesaan ketika pemain beraksi di atas padang.

Dicipta dengan fabrik ULTRAWEAVE, jersi ini mempunyai reka bentuk regangan empat hala berstruktur yang mengurangkan berat dan geseran.

Keadaan itu membolehkan pemain bergerak dengan bebas dan selesa manakala teknologi dryCELL yang disepadukan ke dalam fabrik direka bagi memastikan badan anda bebas daripada peluh.