Debaran semakin memuncak untuk melihat pasukan mana yang bakal muncul juara kategori Liga Super Kejohanan Liga Futsal Insititut Pengajian Tinggi (IPT) 2023.
Baca Juga:
- Liga Futsal IPT 2023: UPSI Cemerlang Atasi UNM 5-3
- Liga Futsal IPT 2023: KPTM Bangi, UiTM Sama Handal
- Kepakaran Jurulatih Futsal Malaysia Dapat Perhatian Kelab Korea Selatan
Saingan yang memasuki aksi terakhir pada pagi esok menyaksikan pendahulu liga, Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan membuat perhitungan dengan pencabar terdekat, Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Bangi.
Hanya dipisahkan satu mata, pertembungan terakhir kedua-dua pasukan itu pastinya bakal berlangsung dengan cukup hangat dalam usaha mereka memburu kejayaan.
Selepas mengharungi 17 perlawanan liga, UiTM masih mengekalkan rekod tanpa kalah dengan 13 kemenangan dan empat keputusan seri bagi mengumpul 43 mata.
Manakala, skuad kendalian Syafique Faudzil itu pula hanya satu mata dibelakang dengan 13 kemenangan, tiga keputusan seri dan satu kekalahan dialami.
Sementara itu dengan perbezaan jaringan yang cukup besar dimiliki berbanding Politeknik Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) dijangka akan menamatkan saingan kali ini di kedudukan ketiga.
Pasukan yang kembali beraksi dalam Liga Super selepas menungguli Liga Premier musim lalu itu mengumpul 34 mata hasil 10 kemenangan, empat keputusan seri dan tiga kekalahan.
Selain gelaran juara yang perlu menunggu hingga ke perlawanan terakhir, perebutan slot untuk terus kekal dalam Liga Super turut sengit melibatkan tiga pasukan iaitu University of Nottingham Malaysia (UNM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Management Science University (MSU).
Sekiranya ketiga-tiga pasukan berjaya mencatatkan kemenangan pada perlawanan terakhir mereka, UNM akan kekal beraksi di Liga Super berdasarkan kelebihan mata manakala UUM dan MSU bakal mengiringi Uniten Putrajaya dan Universiti Malaya turun ke Liga Premier.
Sementara itu, Universiti Malaysia Pahang (UMP) sudah pun mengesahkan kejuaraan Liga Premier dengan lebih awal untuk dinaikkan pangkat ke Liga Super musim hadapan.
Kedudukan tempat kedua bakal menjadi rebutan antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang akan bertemu sesama sendiri pada petang ini.
Manakala slot pasukan terakhir yang akan turut ke Liga Super musim hadapan menjadi milik UiTM Perlis.
Bagi kategori wanita pula, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menepati ramalan awal muncul juara Liga Futsal IPT buat kali kedua berturut-turut.
Sementara itu, UiTM dan UPSI perlu menunggu aksi terakhir untuk menentukan pasukan mana menamatkan saingan di kedudukan kedua dan ketiga.
UPSI sedang bertemu UPNM untuk aksi terakhir manakala UiTM pula akan berhadapan dengan Universiti Malaya (UM).