Nasib berbeza dialami dua kelab gergasi England pada aksi sulung Liga Europa (UEL) 2022/23 apabila Arsenal meraih kemenangan 2-1 keatas FC Zurich manakala Manchester United tumpas 0-1 ditangan Real Sociedad.
Baca Juga:
- Dion Cools Tidak Tersenarai Dalam Skuad UEL FC Midtjylland
- UEL: Lihat Detik Arsenal Mara Dengan Dramatik Atasi Benfica
- Spartak Moscow Bakal Disingkirkan Dari UEL
Beraksi di Stadium Letzigrund tidak menghalang skuad kendalian Mikel Arteta itu untuk menguasai sebahagian besar permainan meskipun beberapa pemain utama seperti Martin Odegaard, Gabriel Jesus, Bukayo Saka dan Oleksandr Zinchenko tiada dalam senarai kesebelasan utama.
Marquinhos membuka tirai jaringan pada minit ke-16 apabila pemain muda dari Brazil itu yang tidak dikawal pertahanan tuan rumah mudah menolak masuk bola hantaran lintang Edward Nketiah.
Usaha Nketiah untuk membantu jentera pertahanan ketika situasi sepakan penjuru nyata tidak berjalan dengan baik apabila kekasaran dilakukan terhadap Fidan Aliti menyebabkan Zurich dihadiahkan sepakan penalti.
Mirlind Kryeziu yang mengambil sepakan pada minit ke-44 tidak berdepan masalah untuk mengikat kembali kedudukan.
Nketiah kemudiannya berjaya menebus kesilapan yang dilakukannya dengan tandukan pada minit ke-62 memastikan The Gunners pulang ke London dengan tiga mata.
Sementara itu, kekurangan kreativiti untuk mencipta peluang jaringan serta kontroversi mengenai keputusan pengadil dan Video Assistant Referee (VAR) mewarnai aksi di Old Trafford.
Ketika tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang aksi kedua-dua pasukan sepanjang 90 minit, keputusan pengadil perlawanan dari Itali, Marco Di Bello memberikan sepakan penalti kepada Real Sociedad menjadi topik utama pada aksi sulung ini.
Sepakan penalti tersebut diberikan selepas Di Bello mendakwa percubaan yang dilakukan oleh David Silva terkena tangan Lisandro Martinez.
Barisan pemain Manchester United nyata menentang keras keputusan tersebut, bagaimanapun setelah rujukan VAR dibuat keputusan masih memihak pasukan pelawat.
Brais Mendez yang mengambil sepakan pada minit ke-59 dengan tenang menyempurnakan sepakan tersebut meskipun David De Gea sudah dapat membaca arah sepakannya.
Kedudukan 1-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk Real Sociedad berkongsi tiga mata dengan wakil Moldova, Sheriff yang menewaskan Omonia Nicosia (Cyprus) dengan keputusan 3-0.