Juara bertahan, Real Madrid meneruskan perjuangan ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022/23 selepas menundukkan Chelsea 2-0 di Stamford Bridge, sebentar tadi.

Baca Juga:

Kemaraan dengan agregat 4-0 itu juga meletakkan Real Madrid di landasan terbaik untuk mengintai peluang menjuarai saingan tersebut buat kali ke-15.

Sedar mereka memerlukan jaringan awal untuk memadamkan kelebihan dua gol dimiliki pasukan pelawat, pemain Chelsea tampil dengan baik pada awal permainan.

Skuad kendalian Frank Lampard itu memberikan tekanan dengan beberapa serangan berbahaya ke arah kubu Los Blancos yang dikawal Thibaut Courtois.

Chelsea memberikan ancaman pada minit ke-11 apabila N’Golo Kante mendapat peluang terbaik susulan hantaran lintang Reece James, namun percubaan kaki kiri beliau dalam kawasan penalti ketika hanya berhadapan Courtois tersasar sebelah kiri pintu gol.

Real Madrid kemudiannya memperkemaskan aksi untuk mengkucar-kacirkan jentera pertahanan Chelsea dan ia membuahkan hasil dengan tiga percubaan berbahaya dijelmakan.

Percubaan jarak dekat Rodrygo dalam kawasan penalti pada minit ke-20 bagaimanapun sekadar singgah di tiang gol manakala rembatan Modric berselang 12 minit kemudian pula diselamatkan Kepa Arrizabalaga.

Peluang keemasan buat Chelsea hadir pada masa kecederaan dimana Marc Cucurella hanya berhadapan dengan Courtois hasil hantaran lintang James tetapi percubaannya diselamatkan dengan baik penjaga gol tersebut.

Rodrygo membuatkan penyokong tuan rumah terdiam pada minit ke-58 selepas menyudahkan peluang hasil serangan balas pantas dimulakannya untuk meletakkan Real Madrid di hadapan.

Pemain skuad kebangsaan Brazil itu menambah jaringan kedua peribadi ketika permainan memasuki minit ke-80 selepas beliau mudah menolak masuk bola hasil umpanan baik daripada Federico Valverde.

Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan untuk membawa Real Madrid ke separuh akhir bagi menanti pemenang antara Manchester City dan Bayern Munich yang akan beraksi awal pagi esok.