Juara bertahan, Real Madrid tidak berdepan masalah untuk meraih kemenangan pada aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2022/23 selepas menundukkan Chelsea 2-0 di Santiago Bernabeu, sebentar tadi.

Baca Juga:

Beraksi di laman sendiri jelas memberikan kelebihan buat Real Madrid yang tenang menguasai permainan serta mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Chelsea.

Chelsea bagaimanapun terlebih dahulu menguji gawang tuan rumah apabila Joao Felix mendapat peluang terbaik untuk membuka tirai jaringan seawal minit kedua.

Pemain pinjaman itu melepasi kawalan pertahanan susulan hantaran baik daripada N’Golo Kante tetapi percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol, Thibaut Courtois.

Tersentak dengan ancaman awal tersebut, anak buah Carlo Ancelotti memperkemaskan aksi dan mendominasi permainan terutamanya menerusi hantaran pendek.

Usaha Los Blancos membuahkan hasil pada minit ke-21 apabila kuisan Vinicius Junior setelah menerima umpanan Dani Carvajal gagal diselamatkan dengan baik Kepa Arrizabalaga sekali gus membolehkan Karim Benzema menolak msuk bola dengan mudah untuk memisahkan kedua-dua pasukan.

Dua minit kemudian Chelsea hampir menyamakan kedudukan tetapi tolakan Raheem Sterling dalam kawasan penalti dinafikan dengan baik Courtois.

Memasuki minit ke-58, Chelsea dirundung malang selepas Ben Chilwell dilayangkan kad merah kerana mengasari Rodrygo yang cuba memasuki kawasan penalti.

Kesempatan kelebihan seorang pemain itu digunakan sepenuhnya Real Madrid untuk menambah jaringan kedua pada minit ke-74 menerusi pemain gantian, Marco Asensio.

Kedua-dua pasukan akan bertemu pada aksi kedua di Stamford Bridge pada 19 April nanti.