Ramai pihak terutamanya peminat setia Melaka United berasa geram dengan isu tunggakan gaji yang dihadapi oleh Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) sehingga menyebabkan ketua pasukan, Shukor Adan mengambil keputusan untuk tidak lagi beraksi bagi menghadapi baki musim 2019.
Shukor tidak diturunkan pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia 2019 menentang Pahang pada hujung minggu lalu. Pada mulanya, peminat menyangkakan perubahan tersebut hanyalah perubahan taktikal namun kemudiannya ketua jurulatih, Zainal Abidin Hassan tampil menjelaskan perkara sebenar.
Baru-baru ini, menerusi satu laporan yang diterbitkan Stadium Astro, Shukor dikhabarkan tidak menerima gaji selama 5 bulan terakhir manakala pemain lain mempunyai tunggakan selama tiga bulan.
Pada masa yang sama, beberapa pemain veteran yang enggan namanya didedahkan turut mengakui isu tunggakan gaji ini sudah berlaku sejak Februari lalu atau lebih tepatnya ketika saingan Liga Super 2019 membuka tirai.
“Sebenarnya masalah gaji ini berlaku sejak Februari lalu, berlarutan sehingga April, menyebabkan ia tertunggak selama tiga bulan. Apabila nak masuk bulan Mei, baru pengurusan bayar gaji Februari, jadi hanya bayar sebulan, baki dua bulan masih tertunggak. Sangkut tiga bulan, bayar sebulan.
“Kami dijanjikan isu tunggakan akan diselesaikan pada Jun lalu tetapi berlarutan sehingga Julai, Ogos dan September. Janji, janji dan janjilah. Sekarang tertunggak tiga bulan, bermula Julai sehingga September. Bonus layak ke suku akhir sudah dibayar tetapi gaji masih tertunggak.
“Sebenarnya, masalah ini adalah disebabkan presiden tidak dapat membawa masuk penaja, itu puncanya. Selama ini, kami pemain hanya berdiam sahaja,” kata pemain tersebut.
Baca artikel lain mengenai isu tunggakan gaji Melaka United di sini:
Yusof Mahadi Akui Gaji Pemain Melaka United Tertunggak Dua Bulan