Pemain tengah Brighton & Hove Albion, Adam Lallana mendapat tugasan tambahan selepas beliau turut tersenarai dalam barisan kejurulatihan baharu skuad utama kelab tersebut.

Baca Juga:

Lallana bakal menjadi pembantu kepada pengendali interim, Andrew Crofts (jurulatih bawah 21 Brighton) bagi mengisi kekosongan ditinggalkan pengurus sebelum ini, Graham Potter yang memilih untuk menyertai Chelsea.

Bagaimanapun, Lallana yang sudah membuat tiga penampilan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini sebelum mengalami kecederaan betis tetap akan disenaraikan sebagai pemain.

Perkembangan terkini itu disahkan oleh laman sesawang rasmi Brighton dimana Lallana akan bersama-sama penolong jurulatih skuad bawah 21 tahun, Shannon Ruth, Nick Stanley dan Jack Stern (jurulatih penjaga gol) akan membantu Crofts.

Perubahan tersebut terpaksa dilakukan serta-merta oleh pengurusan tertinggi Brighton kerana Potter difahamkan turut membawa lima orang kuatnya ke Chelsea.

Lima individu dimaksudkan ialah Billy Reid (penolong jurulatih), Bjorn Hamberg dan Bruno yang merupakan jurulatih skuad utama serta jurulatih penjag gol, Ben Roberts. Selain itu, penolong ketua pengambilan pemain, Kyle Macaulay turut mengikut jejak langkah Potter.

Meninggalkan Liverpool untuk menyertai Brighton pada musim 2020/21, Adam Lallana telah membuat 59 penampilan dalam semua pertandingan dengan hanya satu gol dihasilkan serta mencipta dua bantuan jaringan.

Tugas berat pastinya menanti barisan kejurulatihan interim Brighton untuk mengekalkan kecemerlangan yang ditinggalkan Potter pada permulaan musim 2022/23.

Hal ini kerana kelab tersebut mencatatkan empat kemenangan, satu keputusan seri dan hanya tewas satu perlawanan pada enam aksi awal untuk menduduki tangga keempat.