Ketua jurulatih Negeri Sembilan, K.Devan menyifatkan punca pasukannya kalah kepada TRW Kelantan dalam aksi Liga Super baru-baru ini adalah kerana pemainnya gagal untuk melakukan perkara asas dengan baik.

Baca Juga:

Kelantan mencatat kemenangan 2-0 ke atas Negeri Sembilan sekaligus meraih kemenangan kedua dalam saingan Liga Super setakat ini dan naik satu anak tangga ke kedudukan 13 dalam carta liga.

Selepas perlawanan, K.Devan nyata kecewa kerana skuad bimbingannya tewas kepada pasukan yang sudah lama tidak meraih kemenangan.

“Malam ini (semalam) pasukan Negeri Sembilan bermain dengan sangat buruk. Decision making dan jiga hantaran-hantaran semua lemah dan kurang baik. Kita boleh bermain dengan lebih baik berbanding apa yang ditampilkan malam ini,” kata Devan.

Kali terakhir Negeri Sembilan mencatat kemenangan dalam saingan Liga Super ialah pada 18 Mei lalu ketika menewaskan pasukan PDRM.

Sejak itu, skuad kendalian Devan mengalami lima keputusan seri dan tiga kekalahan yang menyebabkan mereka tidak berganjak dari kedudukan ke-9 dalam carta liga.

Selepas ini, Negeri Sembilan akan turun berdepan Selangor di laman sendiri pada 14 Ogos diikuti dengan aksi kedua peringkat 16 pasukan terakhir saingan Piala Malaysia menentang Kelantan United pada 20 Ogos.

Pada aksi pertama, Negeri Sembilan berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 menerusi jaringan tunggal Sean Eugene Selvaraj.