TRW Kelantan memutuskan untuk menamatkan kontrak pemain tengah import mereka dari Sepanyol, Mario Arques bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini.
Perkara ini diumumkan oleh Kelantan menerusi laman media sosial rasmi pasukan dimana kontrak Mario ditamatkan kerana beliau mengalami kecederaan selain perlu pulang ke Sepanyol kerana urusan keluarga.
“Mario mengalami kecederaan dan telah ditamatkan kontrak pada bulan Oktober 2021, kebetulan ayahnya sedang mengalami jangkitan Covid-19 dan beliau perlu pulang ke Sepanyol dengan segera.
“Kami mendoakan semoga beliau segera sembuh dan mengharapkan hubungan baik antara TRW Kelantan FC dan Mario Arques terus berkekalan. Selamat Maju Jaya, Mario Arques,” memetik dari kenyataan yang dikeluarkan Kelantan.
Mario merupakan salah seorang pemain terbaik skuad The Red Warriors dalam saingan Liga Premier musim ini dimana beliau menjaringkan dua gol dan dipilih sebagai ketua pasukan.
Pemain berusia 29 tahun itu membantu Kelantan menamatkan saingan Liga Premier di tangga keenam sekaligus berjaya mara ke saingan Piala Malaysia.
Dalam saingan Piala Malaysia, Kelantan yang berada dalam kumpulan D ketika ini berada di tangga keempat dengan kutipan satu mata setelah menghadapi dua perlawanan.
Kelantan tewas ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan berjaya mencuri satu mata ketika berdepan Sabah. Pada aksi seterusnya, skuad bimbingan Reezal Zambery Yahya akan turun menentang Petaling Jaya City.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:
Pemain Muda Jadi Sandaran Sabah Isi Ketiadaan Saddil Ramdani