TRW Kelantan berbelanja sakan pada jendela perpindahan kedua saingan Liga Malaysia musim 2023 apabila membawa masuk lima pemain import baharu bagi memperkuatkan pasukan.

Hal ini berlaku selepas First Instance Body (FIB) menarik semula balik sekatan perpindahan pemain ke atas Kelantan apabila menerima segala dokumen yang diperlukan untuk menarik perintah sekatan perpindahan pemain.

Ketibaan lima pemain baharu itu diumumkan oleh TRW Kelantan menerusi laman media sosial rasmi pasukan dimana lima pemain yang dimaksudkan ialah Dennis Buschening yang pernah beraksi bersama UiTM FC dan Kedah Darul Aman sebelum ini.

Pemain kedua ialah penyerang kelahiran Sepanyol, Youssef Ezzejjari yang pernah beraksi di Liga 1 Indonesia. Seorang lagi bekas pemain yang pernah beraksi di Indonesia, Alie Sesay turut menyertai Kelantan.

Kelantan turut menandatangani pemain pertahanan dari Mesir, Ahmed Magdy serta seorang penjaga gol dari Iran, Aliakbar Ahmadi.

Pada awal bulan ini, Kelantan dijatuhkan hukuman sekatan perpindahan pemain pada jendela kedua bermula 5 Julai lalu.

Hukuman itu berikutan kegagalan skuad Kelantan itu menghantar bukti bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Selain itu ia melibatkan tunggakan gaji pemain serta pegawai, bagi tempoh April dan Mei sebelum tarikh akhir yang ditetapkan pada 28 dan 30 Jun lalu.

Kelantan ketika ini menduduki tangga tercorot dimana pasukan itu mengutip lima mata hasil daripada satu kemenangan, dua seri dan lima belas kekalahan.