Minat mendalam yang ditunjukkan Bayern Munich terhadap penyerang berbisa, Harry Kane jelas amat ditakuti oleh kelabnya, Tottenham Hotspur.

Baca Juga:

Beberapa hari lalu, kelab saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu telah menolak tawaran kedua dilakukan Bayern Munich yang bernilai £68.5 juta.

Malah, Paris Saint-Germain (PSG) juga dikatakan turut berminat untuk mendapatkan khidmat penjaring 213 gol dalam kempen EPL itu.

Enggan kehilangan tonggak utama tersebut, Tottenham dilaporkan telah menawarkan Harry Kane jawatan selepas bersara dalam usaha untuk mengekalkan pemain berusia 29 tahun itu di sana.

Perkembangan terkini itu disahkan Goal dimana Tottenham Hotspur menawarkan jawatan selepas bersara dengan gaji mingguan yang cukup lumayan bernilai £400,000.

Ini bermakna sekiranya Kane memilih untuk menjadi jurulatih, akan ada jawatan jurulatih buatnya di Tottenham selepas bersara.

Ia turut memberikan gambaran jelas bahawa kelab yang menamatkan kempen liga musim lalu di tangga kelapan itu akan melakukan apa sahaja untuk memastikan ‘ayam tambatan’ mereka itu kekal bersama pasukan.

Meskipun kempen musim lalu jelas menghampakan buat Tottenham Hotspur, Harry Kane bagaimanapun tetap begitu tajam di hadapan pintu gol pasukan lawan.

Hal ini kerana beliau masih mampu meledakkan 30 gol untuk menjadi penjaring kedua terbanyak, hanya ketinggalan enam jaringan di belakang penyerang Manchester City, Erling Haaland.

Jadi, tidak hairanlah pasukan gergasi Eropah seperti Bayern Munich dan PSG minat untuk mendapatkan khidmat beliau.

Sumber