Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) menegaskan beliau tidak selamanya berada dalam kancah bola sepak.

Baca Juga:

Baginda baru-baru ini tampil dalam satu podcast Keluar Sekejap yang dihoskan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin dan YB Shahril Hamdan.

Ketika mengulas mengenai perjalanan bola sepak beliau, TMJ menyatakan beliau tidak selamanya berada dalam kancah tersebut ekoran tekanan yang tinggi terutamanya dari segi kewangan.

“Saya tidak boleh berada dalam bola sepak selamanya. Memang saya mempunyai minat mendalam dalam sukan ini, tetapi suatu hari pasti saya akan cakap sudah cukup.

“Kerana secara jujurnya, tekanan dari segi kewangan sangat-sangat berat dalam bola sepak, terutamanya di rantau ini, dalam negara kita.

“Contohnya, Kedah. Tiga bulan tidak membayar gaji. Sabah tak bayar gaji, Kelantan tak bayar gaji, Sarawak tak bayar gaji. Jadi bukan mudah untuk jaga kelab bola sepak kerana anda melabur banyak wang tetapi benefits dia sedikit. Dari segi tiket, barangan kelab dan juga tajaan,” katanya.

Tambah TMJ, meskipun JDT banyak bekerjasama dan ditaja oleh syarikat dari luar negara, kelabnya masih berdepan dengan kesukaran dan sering mengeluarkan wang sendiri.

“Kadangkala saya dan kebawah Duli Tuanku keluar duit sendiri dan perkara itu sedikit mengecewakan,” tambahnya.

Pada masa yang sama, TMJ turut menegaskan kelabnya ketika ini berada dalam posisi yang betul dan berharap untuk mara sehingga ke peringkat suku akhir saingan AFC Champions League (ACL).

“Untuk ACL, saya mahu kami mara sehingga ke peringkat suku akhir. Bagi saya itu satu pencapaian yang luar biasa kerana saya tahu ia realistik dan saya tahu dimana kedudukan kami. Saya tak reti berangan.