Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Idris Abdul Majid Abu Bakar Iskandar ibni Sultan Ibrahim (TMJ) memberi bayangan bahawa pasukannya akan tampil lebih kuat dalam saingan Liga Malaysia tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

JDT berjaya merangkul kejuaraan Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut selepas menewaskan PDRM dengan keputusan 4-0 hasil jaringan daripada Bergson da Silva, Juan Muniz, Arif Aiman serta Fernando Forestieri sekaligus meneruskan kekuasaan mereka dalam saingan liga domestik.

Kejayaan ini seolah memberi inspirasi baharu bagi TMJ dimana beliau berpendapat tahun hadapan JDT akan menjadi pasukan yang lebih baik berbanding tahun ini.

TMJ JDT
Sumber Gambar: TMJ

“Saya rasa tahun hadapan kita akan lebih kuat berbanding tahun ini,” kata TMJ menerusi Instagram Story miliknya.

Selain merangkul gelaran juara Liga Super, JDT turut mencatat beberapa rekod lain iaitu satu-satunya pasukan yang muncul juara dalam 10 musim berturut-turut, menjaringkan gol terbanyak dalam semua pertandingan musim ini dengan 122 gol setakat ini serta menjaringkan gol terbanyak di saingan liga dalam satu musim dengan 86 gol setakat ini.

Selain itu, skuad bimbingan Esteban Solari itu masih lagi mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga musim ini berbaki empat lagi perlawanan.

Setelah memenangi dua kejuaraan iaitu Liga Super dan Piala FA yang mana mereka menewaskan Kuala Lumpur City, kini fokus kelab dari Selatan tanah air itu ialah mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi mereka musim lalu dimana JDT bakal berdepan pasukan Perak di peringkat separuh akhir.

JDT akan turun menentang Perak bagi aksi separuh akhir pertama pada 20 Oktober di laman sendiri dan perlawanan kedua akan berlangsung pada 3 November.