Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan kemenangan tipis pasukannya ke atas PDRM dalam saingan Liga Super 2020 semalam adalah kemenangan mutlak dan memastikan juara bertahan itu kekal mendahului carta liga.
TMJ berkata demikian melalui laman Instagram Story miliknya setelah ada tanggapan daripada sesetengah pihak yang mengatakan JDT sedikit bergelut untuk meraih kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir liga. JDT hanya merekodkan kemenangan tipis ke atas Kedah (1-0), UiTMF FC (2-1) dan 1-0 pada perlawanan semalam.
Tambah TMJ, setiap pasukan dan juga pemain yang bertemu JDT akan menampilkan persembahan terbaik bagi memberikan tentangan hebat memandangkan pasukan itu merupakan sebuah pasukan yang meraih kejuaraan setiap musim.
TMJ sambil berseloroh mengatakan pemain akan menampilkan persembahan terbaik kerana itu adalah satu audition untuk mereka bagi mencari peluang untuk menyertai kelab yang lebih besar.
Kemenangan JDT ke atas PDRM memberikan kelebihan tiga mata di hadapan pasukan di tangga kedua, Melaka United yang akan turun pada malam ini dengan berdepan pasukan Felda United.
Pada perlawanan seterusnya, Johor Darul Ta’zim akan menerima kunjungan Felda United di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu ini.
Baca artikel lain mengenai pasukan Johor Darul Ta’zim di sini:
AFC Club Rankings: JDT Melonjak 16 Tangga, Pintas Muangthong United Untuk Muncul Top 3 ASEAN