Pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) berpendapat pemilihan pemain ke skuad Harimau Malaya tidak semestinya bergantung pada jumlah minit permainan semata-mata.
Baca Juga:
- TMJ: Tak Semua Pemain Beraksi Di Luar Negara Harus Disanjung
- TMJ: Kontraktor Bayar Gaji Pemain? Sila Audit Dan Periksa Kewangan JDT
- TMJ Syaki Selangor Dapat ‘Bantuan Istimewa’ Kutip Mata Maksimum
Menurut TMJ, jurulatih skuad kebangsaan perlu melihat pada kualiti latihan yang diterima oleh pemain tersebut bersama kelab masing-masing serta pendedahannya di peringkat tertinggi.
“Dulu lagi saya katakan betul minit permainan mustahak bukan tidak mustahak tapi kena pula tengok latihan dan persiapan kelab juga mustahak. Ia merumuskan teknologi dan intensiti dalam latihan serta kualiti terhadap pemain itu sendiri yang mendapat pendedahan terbaik ketika menjalani latihan bersama kelab.
“Jika hendak betul-betul mahu bercakap soal minit, kenapa tidak ambil semua pemain Kuching City FC ataupun PDRM. Mereka semuanya ada minit permainan.
“Jadi kalau hendak bercakap soal minit sahaja, bagi saya tidak masuk akal kerana sepatutnya perlu ada penilaian yang lebih adil berkenaan bukan sahaja minit tetapi juga kualiti yang ada pada pemain itu,” kata TMJ dalam satu temubual yang disiarkan di JDT TV.
HRH MAJOR GENERAL TUNKU ISMAIL IBNI SULTAN IBRAHIM, CROWN PRINCE OF JOHOR INTERVIEW — WATCH IT NOW!
[1/6] pic.twitter.com/tvPAPtwSQO
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) April 6, 2023
Sebelum ini, peminat bola sepak tempatan mempersoalkan tindakan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menyenaraikan pemain yang tidak cukup minit permainan ketika aksi persahabatan antarabangsa.
Namun begitu, pemain sayap JDT, Akhyar Rashid yang mempunyai minit permainan yang sedikit dalam saingan Liga Super musim ini berjaya menjaringkan dua gol ketika aksi menentang Turkmenistan dan Hong Kong.
“Tengok sendiri Akhyar Rashid pun tidak mempunyai minit permainan yang banyak dengan JDT, tetapi bila masuk dia memberikan sumbangan yang begitu hebat kepada Harimau Malaya. Ini kerana kami sudah biasa bermain dengan sistem yang ada untuk beberapa tahun.
“Jadi bagi saya kalau jurulatih yang bijak dia harus ambil kesempatan ini untuk menggunakan sistem yang ada di JDT serta teknologi dan latihan di JDT dan terapkan pada pasukan kebangsaan kerana mereka ini sudah bermain bersama begitu lama dan tahu bagaimana sistem yang perlu dimainkan,” jelas TMJ.
Bagaimanapun, Kim Pan Gon dalam satu sidang media selepas aksi persahabatan menentang Hong Kong tetap mengalakkan para pemain Harimau Malaya mengutip minit permainan bersama kelab masing-masing kerana ia penting untuk memastikan fizikal dan kecergasan mereka di tahap terbaik.