Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan satu perlawanan amal akan diadakan yang mana akan melibatkan beberapa bekas pemain terbaik dunia.
Baginda mengumumkan mengenai perlawanan amal tersebut melalui laman media sosial rasmi miliknya dan juga laman Johor Southern Tigers.
Perlawanan Amal 'All-Star’ antara ‘Rest of the World XI’ & Pilihan JDT akan berlangsung di Larkin pada 30 Jun 2019. Bekas pemain-pemain bola sepak terkemuka dari seluruh dunia termasuk Ronaldo, Figo, Roberto Carlos, Caniggia, Materazzi & Pires akan beraksi. (1/3) pic.twitter.com/JZTOwNo5r0
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) June 6, 2019
Perlawanan yang akan berlangsung pada 30 Jun ini akan diadakan di gelanggang keramat JDT iaitu Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.
Antara pemain yang terlibat adalah bekas ketua pasukan Portugal, Luis Figo, bekas bintang Brazil, Roberto Carlos, Ronaldo dan Bebeto selain bekas bintang Argentina, Claudio Caniggia, bekas pemain pertahanan Itali, Marco Materazzi dan bekas pemain sayap Perancis dan Arsenal, Robert Pires.
Menurut TMJ, semua hasil kutipan akan disumbangkan kepada Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Women’s Aid Organisation. Selain itu, penyokong turut berpeluang untuk mendapatkan autograf dan bergambar dengan pemain bintang yang dijemput.
Maklumat mengenai penjualan tiket bagi perlawanan antara bintang dunia menentang pilihan Johor Darul Ta’zim akan diumumkan melalui laman Johor Southern Tigers dalam masa terdekat.