Pengurus Brazil, Adenor Leonardo Bacchi atau lebih mesra dengan panggilan Tite jelas tidak bersependapat dengan legenda Ireland, Roy Keane yang mengutuk keraian jaringan dilakukan para pemain skuad samba itu ketika bertemu Korea Selatan, tempoh hari.
Baca Juga:
- Keane Menyampah Tengok Tarian Keraian Brazil
- Insiden Lempar Kucing: Peminat Doakan Brazil Kalah
- Brazil vs Korea Selatan: Taeguk Warriors Jadi ‘Lauk’ Skuad Samba
Keane mengakui menyampah dengan tindakan para pemain Brazil itu dengan menari ketika meraikan keempat-empat jaringan tersebut dan menganggap ia seperti tidak menghormati lawan.
Malah, seperti yang dapat disaksikan pada aksi pusingan 16 itu para pemain Brazil juga mengajak Tite meraikan jaringan dengan turut serta menari di tepi padang.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Tite langsung tidak terganggu dengan kritikan daripada Keane dan mengakui kebiasaan itu akan diteruskan oleh anak buahnya pada setiap perlawanan.
“Ini bukan pasukan kebangsaan saya. Ia adalah pasukan kebangsaan Brazil yang saya bertanggungjawab sebagai jurulatih,” ujar Tite menurut laporan Metro UK.
“Saya minta maaf kepada orang yang tidak tahu sejarah dan budaya Brazil serta cara hidup kami. Kami akan terus melakukan perkara mengikut cara kami.”
“Saya mahu hubungan saya adalah dengan orang yang berkaitan dengan saya, yang tahu betapa saya menghormati sejarah kami, mereka adalah orang-orang yang memberikan saya hati.”
“Mungkin ada ramai kanak-kanak yang menari kerana itulah budaya Brazil apabila gol berjaya dijaringkan. Itu bukan soal tidak menghormati orang lain. Itulah yang kami lakukan dan itulah diri kami.”
“Saya berusia 61 tahun dan pemain ini hampir boleh menjadi cucu saya tetapi saya mempunyai hubungan dengan mereka.”
“Jika saya perlu menari saya akan menari walaupun saya akan melakukannya secara tidak langsung dan saya meminta mereka untuk menyembunyikan saya. Itu bukan cara saya,” tambah Tite lagi.