Johor Darul Ta’zim berjaya membenam pasukan Pahang dengan keputusan 2-0 pada perlawanan yang diadakan di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin semalam sekaligus mengukuhkan lagi cengkaman mereka di puncak Liga Super musim ini. Jaringan Harris Harun dan Akhyar Rashid pada separuh masa kedua sudah cukup untuk memberikan 3 mata buat JDT.

Namun, kerancakan perlawanan tersebut dicemari dengan tindakan segelintir penyokong yang membaling suar yang telah dinyalakan ke dalam padang setelah perlawanan tamat.

https://twitter.com/adibrazak14/status/1128328071554068480

Tindakan ini nyata satu tindakan yang tidak profesional serta boleh membahayakan nyawa penyokong lain yang berada di dalam stadium. Sebagai rekod, seorang penyokong maut ketika menyaksikan perlawanan persahabatan antara pasukan kebangsaan Indonesia menentang Fiji pada 2017 kerana terkena mercun yang dibaling dari tingkat atas tempat duduk penonton.

Masih belum jelas penyokong pasukan mana yang membaling suar tersebut. Namun pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus menyiasat kejadian ini kerana ianya bukan sahaja mendatangkan bahaya kepada penyokong yang lain, malah pemain juga berdepan risiko terkena suar.

Walaupun diwarnai dengan insiden tidak diingini, kemenangan Johor Darul Ta’zim semalam mengukuhkan lagi cengkaman mereka di puncak Liga Super dengan perbezaan 8 mata dihadapan pasukan Pahang.